Puting Beliung Rosakkan Rumah dan Sekolah Tabika

21 Mac 2025
SEMPORNA: Penduduk Kampung Sungai Tuhok, di sini, gempar selepas berlaku kejadian puting beliung yang merosakkan beberapa rumah dan sebuah tabika kemas, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, empat rumah dan tabika berkenaan ‘hilang’ atap diterbangkan angin kencang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Mazlan Sarman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada jam 4 petang tadi.

Katanya, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.
“Sebaik tiba di lokasi, pemeriksaan mendapati sebanyak empat rumah dan sebuah tabika kemas mengalami kerosakan di bahagian bumbung.
“Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam insiden berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mazlan berkata, pasukan operasi terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.05 petang.
Comments