‘QR Code Aduan Masyarakat’, satu lagi inisiatif PDRM Sabah untuk manfaat orang ramai
10 September 2024
KOTA KINABALU: Polis Kontinjen Sabah melancarkan imbasan kod QR dikenali ‘QR Code Aduan Masyarakat’ sebagai platform penyaluran maklumat menggunakan telefon bimbit secara pantas.
Inisiatif oleh Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata ia bertujuan menyantuni serta menyelami permasalahan yang dihadapi oleh semua lapisan masyarakat di negeri ini terutama di pusat bandar.
Sebagai permulaan, PDRM Kontinjen Sabah memilih empat buah daerah iaitu Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran dan Papar bagi pelaksanaan inisiatif ini.
“Sebelum ini kita menyediakan 15 Op Payung di sekitar pusat bandar bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman orang ramai, bagaimanapun seiring peredaran masa, semakin luas kawasan yang perlu dipantau oleh pihak polis dan jumlah Op Payung terbabit dilihat tidak mencukupi.
“Pada masa sama, polis juga menyediakan cara konvensional menggunakan Peti Aduan Polis seterusnya membawa kepada penggunaan platform aplikasi Rakan Cop yang dibangunkan oleh PDRM sekitar tahun 2004 sebelum menaik taraf aplikasi Rakan Cop kepada Volunteeer Smartphone Patrol (VSP) pada 25 Mac 2017.
“Selari peredaran teknologi digital, PDRM sekali lagi melasanakan inovasi mewujudkan penggunaan imbasan kod QR bagi memudahkan masyarakat memberi kemudahan dan perkhidmatan yang lebih baik serta efisien kepada semua lapisan masyarakat di dalam menyalurkan apa sahaja maklumat kepada pihak polis,” katanya seperti dilaporkan Utusan Borneo.
Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Penyerahan QR Code Aduan Masyarakat di Pondok Polis Warisan Square di sini, hari ini.
Jauteh berkata, inisiatif imbasan kod QR lebih mudah kerana kaedah ini tidak lagi asing kepada orang ramai selain boleh digunakan oleh setiap lapisan masyarakat berbanding aplikasi VSP yang tidak dimiliki oleh semua pihak.
“Imbasan kod QR juga antara kaedah mudah dan cepat dalam menyalurkan sebarang maklumat serta aduan berkenaan kegiatan jenayah dan insiden lain termasuk sesat, masalah aliran trafik, kemalangan atau mengalami kecederaan semasa berada di sini.
“Untuk permulaannya, PDRM Kontinjen Sabah memilih empat buah daerah iaitu Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran dan Papar sebagai perintis dan medan percubaaan di dalam kempen melancarkan ‘QR Code Aduan Masyarakat’.
“Hasil pelancaran ini dan maklum balas yang diterima akan dijadikan sebagai kayu pengukur kepada keberkesanan platform yang dilancarkan sebelum diperluaskan ke seluruh daerah di Sabah,” katanya.
Beliau berkata, JPJKK Kontinjen Sabah khususnya Bahagian Pendataan atau Analisa akan bertanggungjawab terhadap perlaksanaan imbasan kod QR ini dan segala maklumat yang disalurkan akan ditapis dan diteliti dari segi kesahihan sesuatu maklumat sebelum sebarang tindakan diambil.
“Polis Kontinjen Sabah meletakkan harapan yang tinggi terhadap pendekatan ini agar dapat bersama-sama dengan masyarakat mewujudkan persekitaran yang harmoni dan bebas jenayah," katanya.
Jauteh berkata segala maklumat yang disalurkan melalui platform ini adalah rahsia dan akan diambil tindakan sewajarnya di dalam memberi kepuasan hati pelanggan selari dengan moto PDRM ‘Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada'.
Comments