top of page
  • nabalunews

Rakyat China, Brunei, Indonesia, Filipina paling ramai melawat Sabah

19 September 2024


KOTA KINABALU: Sabah terus menjadi destinasi pilihan utama bagi pelancong dari China, Brunei, Indonesia, dan Filipina, sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini.


Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, memaklumkan sebanyak 586,501 pelawat dari keempat-empat negara ini telah direkodkan sepanjang lapan bulan pertama 2024.


Beliau menyatakan, angka ini menunjukkan pertumbuhan positif dalam sektor pelancongan Sabah, dan beliau optimis bahawa jumlah kedatangan pelawat asing dari China, Brunei, Indonesia dan Filipina akan terus meningkat menjelang akhir tahun ini.


Keyakinan itu juga berdasarkan usaha

kerajaan negeri yang kini giat melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menarik lebih ramai pelancong ke Sabah, termasuk menambah baik kemudahan infrastruktur pelancongan serta mengadakan promosi besar-besaran di peringkat antarabangsa.


Tambahan pula Sabah bukan sahaja menawarkan keindahan alam semula jadi, tetapi juga kepelbagaian budaya yang kaya, hospitaliti mesra, dan pengalaman unik yang sukar ditemui di tempat lain," tambahnya.


Tahun ini, Sabah juga berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat pelancongan serantau melalui pelbagai acara antarabangsa dan penglibatan aktif dalam rangkaian pelancongan global.


“Berdasarkan statistik Jabatan Imigresen Sabah, kemasukan pelawat asing ke negeri ini dalam tempoh lima tahun iaitu 2020 hingga Ogos 2024, jelas menunjukkan peningkatan drastik terutama dari China, Brunei, Indonesia dan Filipina.


“Mengambil kira rekod Jabatan Imigresen itu, sebagai contoh untuk tahun 2023 saja, jumlah kemasukan pelawat asing ke Sabah dari empat negara berkenaan adalah seramai 427,077 orang.


“Sesungguhnya, peningkatan ini adalah sesuatu yang sangat positif, khususnya dalam membantu pertumbuhan ekonomi negeri ini.


“Saya juga berharap jumlah kemasukan pelawat asing dari negara-negara lain akan turut meningkat,” katanya pada Majlis Apresiasi Serumpun Kasih Seluhur Budi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.


Hajiji berkata, sistem tadbir urus dan kerjasama baik di antara kerajaan negeri dan Jabatan Imigresen Negeri Sabah dalam pengurusan imigresen yang efisien dapat memudahkan kemasukan pelawat termasuk pelabur asing ke Sabah.


“Dengan menyediakan proses kemasukan dan permohonan pas yang mudah dan teratur, jelas menunjukkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang mesra dan kondusif, selain menarik lebih ramai pelawat atau pelancong.


“Ia seterusnya membina keyakinan pelabur terhadap keupayaan negeri Sabah dalam menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.


Katanya, sebagai sebuah negeri yang berkembang maju, adalah penting untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti penyampaian perkhidmatan dalam kalangan warga Jabatan Imigresen Sabah.


“Oleh itu, saya mahu agar semua warga Jabatan Imigresen negeri terus memberikan perkhidmatan yang cekap, mesra, berintegriti dan profesional.


“Rakyat hari ini mempunyai pelbagai kehendak yang perlu disantuni dengan sebaiknya,” katanya.


Hajiji berkata, Sabah yang berkeluasan lebih 72,000 kilometer persegi sudah pasti memberi cabaran kepada Jabatan Imigresen dalam menguruskan kemasukan pelancong dan warga asing ke negeri ini.


“Justeru, komitmen semua pegawai dan warga Jabatan Imigresen Sabah yang melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi khususnya dalam mengawal selia 11 pintu masuk di Sabah, amat dihargai.


“Dalam pada itu, kedudukan Sabah yang bersempadan dengan beberapa negara jiran termasuk pembukaan Ibu Kota Nusantara Indonesia, mewujudkan keperluan aspek keselamatan rentas sempadan yang perlu dipertingkatkan di sempadan negeri ini dan Kalimantan, Indonesia,” katanya.


Katanya, kerajaan negeri sudah meluluskan pembinaan dua kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Sabah iaitu di ICQS Bantul dan ICQS Serudong pada tahun lalu.


“Hasil usaha kerjasama di antara Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Negeri Sabah, projek pembangunan di ICQS itu kini sedang dilaksanakan dalam merealisasikan hasrat pembukaan pintu sempadan antarabangsa darat yang pertama di Sabah,” katanya.

Comments


bottom of page