top of page
nabalunews

RAKYAT SABAH DIMINTA PATUHI PKPB


13 OKTOBER 2020

WARTAWAN NABALU NEWS

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah diminta supaya terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, ini penting untuk mengekang penularan Covid-19 di negeri ini.

“Pada hari ini (13 Oktober) pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah telah bermula untuk tempoh 14 hari.

“Oleh itu, kita amat mengharapkan agar semua pihak dapat mempertingkatkan usaha dan peranan masing-masing memutuskan penularan jangkitan Covid-19 di negeri ini,” katanya, dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Masidi yang juga Menteri Kewangan II berkata, berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, sebanyak 443 kes baharu Covid-19 di Sabah, hari ini.

“Seramai 2,970 pesakit sedang menerima rawatan di hospital seluruh Sabah, empat kes kematian dan 2,054 pesakit dilaporkan sembuh dan dibenarkan keluar hospital,” katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh PKPB semua rumah ibadat ditutup, bagaimanapun, laungan azan setiap waktu adalah dibenarkan.

“Begitu juga dengan semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis perkahwinan adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Masidi berkata, kerajaan persekutuan bersetuju menyalurkan peruntukan berjumlah RM50 juta untuk membantu Kerajaan Negeri menangani penularan pandemik Covid-19.

“Kerajaan Negeri sedang giat mengagihkan bantuan Bakul Makanan kepada penduduk kampung yang diarah melaksanakan PKPD atau lockdown dan Ketua Isi Rumah (KIR) yang sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah.

“Sehingga hari ini, sebanyak 12,813 bakul makanan telah diagihkan,” katanya.

Comments


bottom of page