top of page

Rampas Gula dan Minyak Masak Cuba Diseludup

nabalunews


20 Mac 2025


TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 2,110 kilogram gula pasir dan 820 kilogram minyak masak paket ke negara jiran, pada Selasa.


Semua barangan runcit bersubsidi yang dibawa menggunakan sebuah bot kargo itu dikesan kira-kira jam 6 petang, di kedudukan 2.2 batu nautika selatan, Tanjung Batu, di sini.


Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot kargo berkenaan dikesan oleh kapal peronda KM Medang yang sedang menjalankan Ops Pagar Laut 1/2025.



Katanya, bot kargo berkenaan dikesan bergerak dari arah Jeti Makmur menuju ke Pulau Sebatik sebelum dipintas untuk pemeriksaan.


“Bot kargo berkenaan dikendalikan oleh juragan lelaki warga tempatan berusia 30 tahun bersama pembantu warga Indonesia berusia 25 tahun.


“Pemeriksaaan seterusnya mendapati juragan gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan barang kawalan yang dibawa dan hanya mempunyai dokumen pengikraran barangan runcit ke Pulau Sebatik,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.



Shahrizan berkata, kedua-dua suspek terus ditahan bersama bot kargo dan muatan barang kawalan untuk tindakan selanjutnya.


Katanya, semua barangan kawalan termasuk bot kargo dan enjin bot disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM40,000.


“Siasatan juga akan dijalankan ke atas unsur penyeludupan ke negara jiran berikutan permintaan pada musim perayaan dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.


Sementara itu, Shahrizan berkata, pihak Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah(ESSZONE).


“Kerjasama dengan agensi-agensi lain akan terus diperkukuhkan demi memastikan undang undang negara sentiasa dipatuhi.


“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999,” katanya

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page