Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2025 diluluskan Dewan Negara
12 Disember 2024
KUALA LUMPUR: Setelah melalui enam hari tempoh perbahasan dan penggulungan peringkat jawatankuasa bermula 4 Disember lalu bagi setiap kementerian terlibat, persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2025 selepas mendapat sokongan sebulat suara semua Ahli Dewan Negara.
Perkara itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah ketika mempengerusikan sementara persidangan hari ini, lapor Bernama.
Terdahulu, RUU Perbekalan 2025 dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober lalu melibatkan peruntukan sebanyak RM421 bilion dan adalah belanjawan terbesar pernah dibentangkan dalam sejarah dan diselaraskan secara strategik dengan kerangka Ekonomi MADANI.
Belanjawan itu tertumpu kepada menarik pelaburan berkualiti tinggi, memacu peluang perniagaan, melaksanakan projek untuk kesejahteraan rakyat dan tidak menjejaskan kemampuan rakyat dalam membeli barangan keperluan dan perkhidmatan.
Persidangan Dewan Negara akan bersambung semula Isnin ini.
留言