RANGKA MEMPERKASA ZON PEMBANGUNAN EKONOMI BIMP-EAGA DIPERLUKAN
29 April 2021
KOTA KINABALU: Sabah BIMP-EAGA Traders Association (BETA) berharap akan ada usaha positif dirangka kerajaan bagi memperkasakan dagangan zon pembangunan ekonomi, Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur, Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA).
Pengerusi BETA Datuk Ahdie Dodds berkata, usaha itu bukan saja dapat meningkatkan potensi perniagaan dan perdagangan tetapi juga merancakkan ekonomi di sekitar kawasan terbabit.
Katanya, kerajaan perlu melihat perdagangan antara sempadan yang membabitkan daerah Tawau dengan Selatan Filipina dan Kalimantan, Indonesia itu sebagai enjin ekonomi yang amat penting.
“Perdagangan menerusi konsep 3T iaitu meliputi Tawau (Sabah), Tarakan (Kalimantan Utara) dan Tawi-Tawi (Filipina Selatan) perlu terus dipertingkatkan.
“Ia juga sekaligus mencipta banyak peluang perniagaan dan juga pekerjaan khususnya di dalam kawasan serantau Sabah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ahdie berkata, BETA juga berharap jaringan antara Serudong dan Simanggaris (Indonesia) yang diluluskan sebelum ini dapat disegerakan.
Katanya, ia bagi membuka peluang perniagaan yang lebih luas dan dinamik untuk ahli-ahli BETA khususnya.
Sementara itu, Ahdie berkata, BETA amat mengalu-alukan perlantikan Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai Duta Khas, BIMP-EAGA Sabah.
Katanya, pengalaman luas beliau dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini akan pasti mampu membawa manfaat yang baik kepada negeri Sabah khususnya.
“BETA amat yakin Tan Sri Pandikar akan mampu membawa hala tuju ekonomi Sabah ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
댓글