RBG Mix Juara Kejohanan Bolasepak Wanita sembilan Sebelah Krismas 2024 Kota Belud
15 Disember 2024
KOTA BELUD: Pasukan RBG Mix melakar sejarah apabila muncul juara Kejohanan Bolasepak Wanita 9 Sebelah sempena Sambutan Krismas 2024 anjuran Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Belud dengan kerjasama Kelab Kasuka FC Kota Belud hari ini.
Kejohanan yang berlangsung di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Piasau, Kota Belud, menyaksikan RBG Mix membawa pulang piala kejohanan bersama hadiah wang tunai RM500.
D'NEXT FC muncul Naib Juara dan
menerima piala dan hadiah wang tunai RM300.
Tempat ketiga dimenangi oleh pasukan DYNAMIC FC dengan ganjaran RM200, manakala tempat keempat, KB KID FC, membawa pulang RM100.
Beberapa pemain turut menerima pengiktirafan khas berdasarkan prestasi cemerlang mereka sepanjang kejohanan.
Anugerah Penjaga Gol Terbaik diraih Nursyaffiah Hanania, sementara Jannifer Petrus dinobatkan sebagai Pemain Terbaik kejohanan
Pemain muda berbakat, Chelsea Leona Julius, menerima anugerah Pemain Harapan.
Penjaring terbanyak kejohanan atau kasut emas milik pemain jersi nombor 10 daripada KB KID FC, Evory Beatrice Marikus, yang mempamerkan ketajaman merobek gawang lawan.
Kejohanan ini dirasmikan oleh Ketua Pemuda UPKO Kota Belud, Jolyhame Saran mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, yang memberikan ucapan penuh inspirasi kepada para peserta.
“Saya mengucapkan tahniah kepada semua pasukan dan pemain yang telah memberikan persembahan terbaik mereka hari ini. Beberapa pemain berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi, dan ini membuktikan bakat yang ada di daerah kita sangat besar,” kata Jolyhame.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan jurulatih yang berjaya membimbing pasukan masing-masing serta kepada ahli jawatankuasa penganjur yang diketuai oleh Conny Samidah yang bertungkus-lumus menjayakan kejohanan.
Dalam ucapannya, Jolyhame turut mengucapkan terima kasih kepada Ewon, atas sumbangan dana yang memungkinkan penganjuran kejohanan ini.
Turut hadir memeriahkan acara ialah Joel Deukin, Setiausaha Pemuda UPKO Kota Belud.
Penganjur berharap kejohanan ini bukan sahaja menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu tetapi juga memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
コメント