top of page
nabalunews

Rebut peluang hadir ke reruai agensi kerajaan di Karnival 3K USHWANE


2 Disember 2024


PENAMPANG: Orang ramai dipelawa berkunjung ke Karnival Keunikan, Kesenian dan Kebudayaan, 3K anjuran Persatuan Pembangunan Usahawan Wanita Luar Bandar Sabah (USHWANE) di Buhavan Square, Donggongon pada 7 dan 8 Disember ini bermula 9 pagi sehingga 9 malam selama dua hari.


Pengerusi penganjur yang juga pengerusi USHWANE, Rowindy Lawrence berkata Karnival 3K USHWANE bukan hanya memfokuskan kepada usahawan tetapi juga memberikan peluang kepada orang ramai khususnya usahawan untuk mendapatkan maklumat berkaitan geran pembiayaan, bantuan bisnes dan perkhidmatan lain kerajaan yang disediakan oleh pelbagai agensi kerajaan khususnya maklumat lanjut mengenai tawaran-tawaran agensi kerajaan bagi tahun hadapan seperti yang diumumkan dalam bajet 2025.

Rowindy berkata antara agensi kerajaan yang mengambil bahagian dalam karnival 3K USHWANE adalah TikTok Shop Malaysia, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, SME Corp, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri Sabah, Kraftangan Malaysia, Penampang Tourism Association, Hospital Mesra Bukit Padang, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), KPJ Sabah Specialist Hospital dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).


Katanya turut diadakan, kempen kesedaran keselamatan berupa pemberian topi keledar secara percuma di reruai PERKESO selain reruai jualan produk-produk usahawan tempatan.

Rowindy berkata selain membuka reruai, TikTok Shop Malaysia yang didatangkan dari Semenanjung Malaysia juga akan mengadakan bengkel Tik Tok pada 7 Disember di Hotel D'Arc, Donggongon, Penampang.


"Orang ramai yang berminat menyertai bengkel tiktok shop ini bolehlah melayari Facebook page Persatuan Pembangunan Usahawan Wanita Luar Bandar Sabah (USHWANE)," kata Rowindy.

Menurut Rowindy, Karnival 3K USHWANE bertujuan untuk mempamerkan keunikan, kesenian, dan kebudayaan di Sabah sambil memperkasakan usahawan wanita luar bandar untuk mengetengahkan hasil produk dan kreativiti mereka. Ini sejajar dengan inisiatif awal Tahun melawat Malaysia 2026 nanti.


Karnival 3K USHWANE dianjurkan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Penampang (MPP).


Majlis Perasmian karnival dijangka disempurnakan oleh Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) pada 8 Disember 2024, pada pukul 7 malam.


Rowindy berkata antara pengisian karnival termasuk persembahan kebudayaan tradisional seperti tarian Sumazau, pameran hasil seni dan kraftangan tempatan serta gerai makanan tradisional yang menampilkan pelbagai juadah di Sabah.


"Bengkel interaktif dan demonstrasi seperti anyaman rotan dan pembuatan kraftangan tradisional di reruai tradisi, turut dilangsungkan," katanya.


Menurut Rowindy, pengisian program di sepanjang Karnival 3K USHWANE turut melibatkan penganjuran pertandingan mewarna kanak-kanak, Kids Fun Time bersama persembahan badut, Pertandingan Ratu Kebudayaan Kanak-Kanak, sesi podcast bersama agensi-agensi kerajaan yang melibatkan perbincangan mengenai perancangan agensi kerajaan untuk 2025 dan kemudahan kepada rakyat, taklimat pembiayaan oleh TEKUN Nasional, pertandingan karaoke dan cabutan tiket bertuah yang menawarkan hadiah termasuk peti sejuk, TV, kipas, dan banyak lagi.


Beliau menambah Jualan Rahmah MADANI ANGKASA turut diadakan sepanjang 2 hari penganjuran karnival.


"Jangan lepaskan peluang merancang masa depan anda untuk tahun 2025 di Karnival ini! Banyak aktiviti menarik, hadiah hebat, dan peluang untuk menyokong komuniti tempatan. Jumpa anda di sana!," kata Rowindy.

Comments


bottom of page