top of page

Remaja istimewa teruja terpilih sertai ‘shopping raya’ Jelajah Iftar 2025 KTC, UPPM Sabah

nabalunews


17 Mac 2025


KOTA KINABALU: Dua anak istimewa antara 65 kanak-kanak serta remaja dari golongan asnaf, yatim piatu dan kurang upaya berpeluang membeli pakaian baharu untuk menyambut Aidilfitri menerusi program Shopping Raya sempena Jelajah Iftar 2025, di Pasaraya Servay di Likas, pada Ahad.


Dua anak istimewa berkenaan, Nur Fatahul Ashikin Andrio, 17 dan Muhammad Daniel Asyraf Syazwan merupakan kanak-kanak di bawah jagaan Rumah Amal Kasih teruja kerana turut terpilih untuk membeli-belah sempena sambutan Hari Raya tahun ini.


Muhammad Daniel Asyraf, ketika ditemui berkata, dia amat bersyukur kerana terpilih untuk membeli-belah dan mendapatkan pakaian baharu.


Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Likas itu, dia kini tinggal di Rumah Amal Kasih sejak berusia 12 tahun kerana datuknya tidak berkemampuan untuk membesarkan mereka dua beradik.


Sementara itu, Nur Fatahul Ashikin, yang buta pada mata kanan serta mengalami kesukaran bertutur dan berkomunikasi akibat Cerebral Palsy, turut berkongsi kegembiraannya apabila diberi peluang memilih pakaian sendiri untuk Hari Raya.


"Saya rasa seronok dan gembira hari ini, saya dapat dua baju raya dan akan bawa beraya di kampung halaman di Semporna nanti," katanya.


Menurut penjaga Rumah Amal Kasih, Noraisyah Ayub, dua remaja itu merupakan antara penghuni yang telah mendapat penjagaan di rumah kebajikan tersebut sejak beberapa tahun lalu.


"Nur Fatahul Ashikin merupakan anak yatim di bawah jagaan kami sejak berusia 12 tahun, dan ketika itu dia masih belum boleh bercakap.


Tetapi kini, dia sudah boleh berkomunikasi dengan rakan-rakannya.


"Alhamdulillah, hari ini mereka dibawa untuk membeli-belah memandangkan dua minggu lagi kita akan menyambut Hari Raya," katanya.


Program Shopping Raya sempena Jelajah Iftar 2025 merupakan tajaan Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah.


Ia merupakan sebahagian daripada aktiviti Jelajah Iftar KTC, di mana kawasan Parlimen Kota Kinabalu menjadi destinasi kesembilan sepanjang Ramadan tahun ini.


Setiap kanak-kanak berkenaan menerima tajaan membeli-belah bernilai RM200 bagi mendapatkan pakaian dan kelengkapan baharu sempena Hari Raya Aidilfitri. sekitar.


Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Redonah Bahanda yang hadir di majlis itu, ketika ditemui berkata, program itu merupakan penganjuran kali kedua di kawasan Kota Kinabalu.


Beliau menekankan bahawa inisiatif seperti ini bukan sahaja membawa kegembiraan kepada kanak-kanak sempena perayaan, malah akan diteruskan di kawasan yang mempunyai penyumbang dan keperluan masyarakat.


Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Redonah dan Datuk Rosimah Zakariah, pemimpin komuniti setempat atas peluang untuk turut serta dalam penajaan program tersebut.


Beliau memaklumkan bahawa selain tajaan pakaian raya, terdapat juga keluarga yang memohon bantuan barangan dapur kerana kehabisan stok makanan.


“Jelajah Iftar 2025 ini akan diteruskan di Beluran pada keesokan harinya sebagai sebahagian daripada usaha berkongsi rezeki dalam bulan Ramadan yang mulia ini.


Turut hadir Pegawai Khas kepada Ketua Menteri, Yee Tsai Yiew, Datuk Aziah, Datin Yee Tsai Siew serta pemimpin komuniti setempat.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page