top of page
nabalunews

Remaja maut dilanggar kereta ketika melintas jalan


3 Januari 2025


KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun maut selepas dilanggar sebuah kenderaan di Kampung Tebobon malam semalam, sekitar jam 9.40 malam Khamis.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda memaklumkan, kemalangan berlaku apabila mangsa, yang dipercayai cuba melintas jalan dari arah kanan ke kiri, dilanggar oleh sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipandu oleh seorang lelaki berusia lingkungan 20-an.


“Hasil siasatan awal mendapati pemandu kenderaan tersebut sedang menuju ke Bandar Sierra dari arah Kota Kinabalu apabila mangsa tiba-tiba berlari melintas jalan. Pemandu tidak sempat mengelak, menyebabkan perlanggaran berlaku,” kata kenyataan itu.


Akibat perlanggaran tersebut, mangsa tercampak ke tepi jalan dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir.


Siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian mangsa sendiri ketika melintas jalan, menurut polis.


Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Comments


bottom of page