top of page
Writer's pictureIlona Andrew

Rentas daerah seluruh Sabah dibenarkan mulai esok


13 Okt 2021

By Ilona Andrew


KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah pada hari ini telah bersetuju untuk membenarkan rentas daerah di seluruh negeri bermulai esok (14 Oktober).


Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor berkata, walau bagaimanapun, rentas daerah hanya dibenarkan bagi individu yang telah lengkap vaksin dua dos.


“Bagi remaja berumur 12 hingga 18 tahun, mereka haruslah sekurang-kurangnya sudah menerima satu dos vaksin.


“Manakala, kanak-kanak di bawah 12 tahun perlu ditemani oleh ibu bapa yang telah lengkap divaksin semasa merentas daerah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.


Menurut Hajiji, Kerajaan Negeri turut bersetuju untuk membenarkan rentas negeri mulai 1 November di mana kemasukan ke Sabah meliputi lawatan sosial dan pelancongan.


Untuk kebenaran ini, syaratnya adalah individu dewasa hendaklah telah lengkap divaksin dan perlu menjalani ujian COVID-19 RT-PCR atau RTK-Ag (Swab/Saliva) dalam tempoh tiga hari sebelum perjalanan.


Selain itu, rentas negeri juga dibenarkan untuk remaja berumur 12 hingga 18 tahun yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan kanak-kanak di bawah 12 tahun ditemani oleh ibu bapa yang telah lengkap divaksin.


Kebenaran rentas daerah dan negeri ini diputuskan setelah Kerajaan Negeri Sabah berpuas hati dengan laporan peratus vaksinasi lengkap negeri setakat 11 Oktober oleh Jawatankuasa COVID-19 Immunisation Task Force (CITF) yang telah mencapai lebih 70 peratus.

Comentarios


bottom of page