top of page
nabalunews

Ribuan pengunjung hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Krismas UPKO Tenom



6 Januari 2025


TENOM: Majlis Rumah Terbuka Krismas 2024 anjuran Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Tenom pada Sabtu lalu telah dihadiri ribuan pengunjung ribuan pelbagai lapisan masyarakat.


Menurut Ahli Jawatankuasa (AJK) Pelaksana dari Kampung Manining Tenom Ricko Biou, sambutan hangat daripada pelbagai kaum dan agama menyerlahkan keharmonian yang terjalin di daerah itu.


“Saya teruja melihat kehadiran ramai. Ini bukti semangat perpaduan yang kukuh di Tenom,” katanya.



Menurut Ricko, ramai pengunjung hadir semata-mata untuk bertemu dan berinteraksi dengan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).


"Keperibadian mesra, rendah diri serta kepimpinan Ewon dalam parti UPKO, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian dan juga sebagai Ahli Parlimen Penampang telah menarik perhatian masyarakat di Tenom,” tambahnya.


Salah seorang pengunjung, Razimin Ribin dari Kampung Mantailang memuji sikap kepimpinan Ewon yang mudah didekati.


“Beliau sangat ramah, tetapi pada masa yang sama memiliki aura pemimpin yang dihormati. Ini membuatkan kami rasa dihargai,” ujarnya.




Larry Laudik dari Kampung Paguakon turut menyatakan keterujaannya kerana dapat berjumpa secara langsung dengan pemimpin UPKO yang lain.


Tambah beliau, sikap rendah diri yang ditunjukkan oleh semua pemimpin UPKO mencerminkan pendekatan inklusif dan mesra rakyat.


Sementara itu, Aniar Echon Gidah dari Kampung Ambuoi menyatakan kegembiraan atas suasana meriah yang ditonjolkan pada majlis tersebut.


“Dulu sambutan lebih sederhana, tapi kali ini sangat meriah. Saya harap majlis seperti ini terus dianjurkan,” katanya.

Comentários


bottom of page