top of page
  • nabalunews

Ringgit mengukuh berbanding Dolar AS, dipacu jualan mata wang Amerika


4 September 2024


KUALA LUMPUR: Ringgit Malaysia mencatat peningkatan pada pembukaan dagangan hari ini, didorong oleh aktiviti jualan dalam mata wang Amerika Syarikat (AS).


Pada jam 8 pagi, ringgit berada pada paras 4.3600/3715 berbanding dolar AS, lebih tinggi berbanding penutupan semalam pada 4.3675/3705.


Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid, menjelaskan bahawa kejatuhan pasaran ekuiti AS menjadi faktor utama yang mendorong kenaikan ringgit.


Pasaran ekuiti AS jatuh dengan ketara setelah Indeks Institut Pengurusan Bekalan (ISM) AS bagi sektor pembuatan kekal dalam tahap penguncupan untuk bulan kelima berturut-turut.


Indeks ISM mencatatkan 47.2 pada Ogos, lebih rendah daripada anggaran konsensus sebanyak 47.5, walaupun sedikit meningkat daripada 46.8 pada bulan sebelumnya.


“Aset berisiko seperti ekuiti merosot manakala hasil bon susut, menunjukkan peralihan kepada aset selamat berikutan bimbang akan kelembapan ekonomi,” katanya lapor Bernama.


Mohd Afzanizam berkata data ekonomi terkini juga menunjukkan Rizab Persekutuan dijangka memulakan pelonggaran dasar monetarinya bulan ini dan ia perlu tegas untuk mengelak risiko kemelesetan.


“Sehubungan itu, Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.09 peratus kepada 101.741 mata berikutan mata wang utama rendah berbanding dolar AS susulan permintaan yang tinggi terhadap mata wang AS itu,” katanya.


Oleh itu, katanya ringgit mungkin kekal rendah berikutan permintaan terhadap mata wang selamat yang semakin meningkat. Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.


Mata wang tempatan mengukuh berbanding Euro kepada 4.8165/8292 daripada 4.8208/8242 pada Selasa dan meningkat berbanding pound kepada 5.7168/7319 daripada 5.7267/7306 sebelum ini.


Bagaimanapun, ia merosot berbanding yen Jepun kepada 2.9984/3.0065 daripada 2.9921/9943 semalam. Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.


Mata wang tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.3359/3452 daripada 3.3360/3386, meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.7121/7572 daripada 12.7537/7680, menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 280.7/281.7 daripada 281.2/281.6 dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.70/7.72 daripada 7.71/7.72 semalam.

Comments


bottom of page