Ringgit naik ke paras tertinggi 11 bulan berbanding dolar AS
31 Julai 2024
KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran meningkat dan ditutup pada paras tertinggi dalam hampir 11 bulan iaitu RM4.58 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), hari ini.
Seorang penganalisis berkata kenaikan ini didorong oleh keputusan Bank of Japan (BOJ) untuk menaikkan kadar faedah dan jangkaan pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS pada bulan September.
Pada jam 6 petang, ringgit melonjak 315 mata asas kepada 4.5885/5925, berbanding penutupan dolar AS pada 4.6200/6235 pada hari Selasa.
Pada 6 petang, ringgit melonjak 315 mata asas kepada 4.5885/5925 berbanding dolar AS daripada 4.6200/6235 ketika ditutup semalam.
Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan, berkata tindakan BOJ menunjukkan keyakinan terhadap pemulihan ekonomi Jepun, dan ini boleh meningkatkan keyakinan pelabur terhadap mata wang Asia jika sentimen positif ini meluas ke pasaran global.
“Ini akan membawa kepada pengukuhan ringgit yang berterusan.
“Prestasi penutupan dagangan lebih tinggi di majoriti pasaran Asia hari ini adalah bukti bahawa pelabur kini mula bergerak menumpukan pasaran pesat membangun di Asia,” katanya kepada Bernama.
Mohd Sedek berkata kadar faedah yang menarik di Jepun mungkin menggalakkan pelabur untuk mencari hasil yang lebih tinggi di pasaran lain, termasuk di negara pesat membangun seperti Malaysia.
“Apabila pelabur mempelbagaikan portfolio mereka, aliran masuk modal ke dalam aset Malaysia boleh mengukuhkan lagi ringgit,” katanya.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berkata seperti dijangka, BOJ menaikkan kadar dasar mereka sebanyak 15 mata asas menjadikannya 0.25 peratus.
“Mungkin peningkatan kadar BOJ dan jangkaan semakin tinggi mengenai penurunan kadar di AS akan mendorong permintaan selanjutnya terhadap mata wang negara sedang pesat membangun, termasuk ringgit,” katanya.
Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed (FOMC) dijangka mengumumkan keputusan mereka malam ini dan pada masa sama kebanyakan konsensus mengunjurkan Kadar Dana Fed tidak berubah.
Beliau berkata walaupun Fed dijangka mengekalkan kadar dasarnya pada status quo, Fed mungkin mahu memberikan panduan yang jelas mengenai penurunan kadar, dengan peserta pasaran telah menetapkan kebarangkalian yang lebih tinggi bagi September.
Sementara itu, mata wang tempatan didagangkan tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.
Ringgit meningkat berbanding pound British kepada 5.8875/8926 daripada 5.9427/9472 ketika ditutup semalam dan kukuh berbanding euro kepada 4.9680/9723 daripada 5.0044/0082 semalam.
Bagaimanapun, unit domestik susut berbanding yen Jepun kepada 3.0515/0545 daripada 2.9845/9870.
Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang negara Asean.
Mata wang tempatan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 282.1/282.5 daripada 283.3/283.7 semalam dan lebih kukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4273/4306 daripada 3.4370/4398.
Ringgit juga meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.86/7.87 daripada 7.87/7.89 namun turun berbanding baht Thailand kepada 12.8717/8880 daripada 12.8319/8470.
Commentaires