RM13 juta untuk bina Kompleks Sukan di Sook
nabalunews
27 Januari 2025
Oleh: Wartawan Nabalu News
KENINGAU: Sebuah kompleks sukan yang dianggarkan bernilai RM13 juta dijangka akan dibina tahun ini, di Daerah Sook.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Angin berkata, peruntukan pembinaan kemudahan itu sudah diluluskan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bersama jemaah menteri tahun lalu.
Katanya, peruntukan untuk membina kompleks sukan ini akan dimasukkan dalam peruntukan tambahan pada Jun tahun ini.
“Bagaimanapun lokasi dan tapak pembinaan kompleks sukan ini sedang dikenalpasti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis tahun baharu 2025 di Pahun Ri Aki, Kampung Biah Tengah, pada Sabtu.
Hadir sama Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Abi Wednes Gamboi, Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Abraham Angkimau dan pemimpin-pemimpin masyarakat DUN Sook.
Ellron yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook berkata, usaha mewujudkan sebuah lagi pusat latihan sukan berprestasi tinggi dalam kawasan Sook juga sedang dalam perancangan.
Katanya, kertas kerja mengenai penubuhan pusat latihan ini telah pun disediakan dan akan dibina secara berfasa.
“Pusat latihan sukan ini akan dibina di Kampung Biah Tengah dengan keluasan tapak 120 ekar.
"Dengan wujudnya pusat latihan sukan seumpama ini selain kemudahan sukan dan riadah, ia akan melahirkan lebih ramai atlet luar bandar yang cemerlang pada masa hadapan" katanya.
Beliau berkata, kewujudan pusat latihan sebegini juga akan menjadi tarikan kepada penggiat-penggiat sukan bukan saja dalam negara tetapi juga dari luar negara.
Katanya, pelaburan dalam sektor sukan dan secara tidak langsung meningkatkan tahap sosioekonomi penduduk kawasan Sook dan sekitarnya.
Comments