top of page
  • Wartawan Nabalu News

RM15.11 bilion untuk laksana 270 program keusahawanan tahun ini

14 Mei 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR:  Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebanyak RM15.11 bilion diperuntukan bagi melaksanakan 270 program keusahawanan di seluruh negara tahun ini.


Beliau berkata, ia akan memberi manfaat kepada seramai 479,350 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).


Katanya, melalui pelaporan Pelan Tindakan Bersepadu PMKS (SMEIPA) 2023/2024, sebanyak 270 program keusahawanan telah dirancang melalui 10 kementerian, 58 agensi dan lapan kerajaan negeri yang terlibat dalam pembangunan keusahawanan.


“Berdasarkan laporan itu, secara purata sebanyak 191 program keusahawanan serta pembangunan PMKS telah dilaksanakan setiap tahun dengan komitmen tahunan berjumlah RM9.6 bilion


“Pada tahun 2023 sahaja, sebanyak RM15.48 bilion telah dibelanjakan untuk melaksanakan 258 program keusahawanan dan pembangunan PMKS,” katanya dalam kenyataan media.


Ahmad Zahid mempengerusikan mesyuarat Sekretariat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) Bilangan 1, Tahun 2024, di Bilik Gerakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), di sini, hari ini.


Turut hadir Menteri Pembangunan Ushawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Seri Suriani Ahmad, wakil-wakil kementerian, ketua-ketua jabatan dan agensi yang terlibat dalam program keusahawanan.


Ahmad Zahid berkata, pelaporan SMEIPA sedia ada perlu dimantapkan agar dapat dijadikan sebagai rujukan utama untuk digunakan sepenuhnya oleh kesemua pemegang taruh, khususnya Kementerian dan agensi yang berada di dalam ekosistem keusahawanan agar tidak berlaku lagi pertindihan pelaksanaan program-program PMKS di seluruh negara.


Katanya, bagi menambahbaik usaha penyelarasan program pembangunan usahawan, SME Corp. Malaysia turut melaksanakan Sistem Pendaftaran Status PMKS bagi memastikan program yang dilakukan lebih bersasar kepada usahawan dan PMKS, seterusnya mengelakkan ketirisan.


Mesyuarat bersetuju untuk Sistem Pendaftaran Status PMKS disepadukan bersama-sama sistem sistem utama lain seperti PADU, Pangkalan Data SSM dan GovTech MALAYSIA.


Ini bagi meningkatkan sinergi antara Kementerian dan Agensi seterusnya menambahbaik sistem penyampaian Kerajaan.


Bagi memastikan usaha penyelarasan bagi ekosistem keusahawanan dan koordinasi program-program pembangunan usahawan dalam negara, mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (SEK-MPUPK) Bil 2 Tahun 2024 hari ini juga telah mengesahkan penambahan keanggotaan sedia ada bagi memperkukuh kerjasama antara Kementerian dalam memperkasa pembangunan PMKS di Malaysia.


Penambahan keanggotaan tersebut adalah Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai tambahan kepada Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).


“Saya percaya melalui penglibatan KKDW dan MITI dalam keanggotaan SEK-MPUPK, membolehkan penjajaran dan koordinasi yang lebih bersepadu bagi semua program pembangunan usahawan dan PMKS khususnya bagi menembusi pasaran global dan meluaskan capaian sehingga kawasan luar bandar.


“Kementerian dan agensi disaran untuk sentiasa memastikan agenda pembangunan usahawan dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu kerana tindakan ini amat penting bagi memastikan tiada lagi pertindihan program berlaku, mewujudkan ketelusan yang lebih baik dalam perkhidmatan Kerajaan dan mengurangkan pembaziran sumber Kerajaan,” katanya.

Comments


bottom of page