top of page

RM15 juta untuk bina Pusat Konvensyen Mini Keningau

nabalunews

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama para pemimpin dan ahli-ahli parti komponen GRS pada program Jelajah Sayangi Sabah Zon 6 di Dataran Keningau.

24 Januari 2025


Oleh : Wartawan Nabalu News 


KENINGAU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi membina sebuah pusat konvensyen mini di daerah ini.


Perkara itu diumumkan semasa program Jelajah Sayangi Sabah Zon 6 yang diadakan di Dataran Keningau pada Khamis.


Hajiji berkata, pusat konvensyen mini itu bertujuan untuk memberi kemudahan bukan saja kepada penduduk Keningau tetapi juga rakyat di sekitar daerah ini.


Katanya, orang ramai boleh melaksanakan program besar yang bersesuaian berikutan Dewan Masyarakat sedia ada tidak lagi mampu menampung jumlah yang ramai.


“Bagaimanapun, saya menyerahkan perkara ini kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang juga Ahli Parlimen Keningau untuk menentukan lokasinya,” katanya.


Pada Jelajah Sayangi Sabah Zon 6 yang diadakan di sini menyaksikan kehadiran hampir 10,000 orang daripada Tambunan, Bingkor, Liawan, Sook, Tulid, Nabawan, Melalap dan Kemabong serta pimpinan komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).


Hajiji berkata, program berkenaan bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara pemimpin kerajaan GRS dengan masyarakat setempat.


Katanya, ia juga memberi ruang kepada kerajaan berkongsi maklumat berhubung pencapaian GRS sepanjang empat tahun menerajui Negeri Sabah.


Sementara itu, Jeffrey ketika ditemui berkata, beliau menyambut baik dengan pengumuman yang dibuat ketua menteri berhubung pembinaan pusat konvensyen berkenaan.


Katanya, beliau berharap pembinaannya disegerakan bagi memastikan ia dapat memberi manfaat kepada masyarakat di Keningau.


“Kemudahan ini amat diperlukan memandangkan dewan sedia ada agak kecil dan saya amat berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana meluluskan hasrat rakyat di pedalaman.


“Lokasi pusat konvensyen mini itu akan dicadangkan dibina di tapak tanah kerajaan, yang dahulunya menempatkan kuarters kerajaan yang berhampiran dengan Hotel Perkasa, muzium dan Batu Sumpah Keningau seluas dua ekar,” katanya.


Jeffrey berkata, konsep reka bentuknya pula akan bina bercirikan semua seni kebudayaan masyarakat yang ada di Keningau.

Comments


bottom of page