top of page
  • nabalunews

RM16.9 juta peruntukan Program Pembangunan Kepimpinan Belia Sabah


15 September 2024


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah memperuntukkan RM16.9 juta bagi melaksanakan Program Pembangunan Kepimpinan Belia Sabah yang merangkumi aktiviti sukarelawan dan perpaduan sosial.


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri juga akan terus menyediakan sumber bagi pelaksanaan pelbagai program untuk belia kita, termasuk latihan kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan.


“Skim pembangunan belia seperti Skim Usahawan Belia Sabah atau SYABAS akan terus menyokong usahawan muda kita dalam memula dan mengukuhkan inisiatif keusahawanan mereka,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sabah Moto Day 7.0 di Padang Kawad Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini.


Hajiji melahirkan rasa gembira dengan kehadiran kira-kira 50,000 peserta termasuk dari Brunei dan Semenanjung yang menghadiri program berkenaan.


Beliau turut mencadangkan agar Sabah Moto Day dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri.


Katanya, acara itu adalah program sukan permotoran dua roda terbesar tahunan yang dinanti-nantikan peminat di Sabah dan negeri jiran.


“Saya percaya program ini akan menggalakkan belia terlibat dalam aktiviti berfaedah untuk menjauhkan mereka daripada aktiviti lumba haram, mengeratkan hubungan serta meningkatkan kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah selain mempromosikan keselamatan penunggang motosikal kepada masyarakat,” katanya.


Ketua Menteri turut memuji penganjur Sabah Moto Day 7.0 kerana banyak program berfaedah disusun sepanjang acara dua hari itu sempena sambutan Hari Malaysia yang menyasarkan golongan belia.


“Penyampaian sumbangan kepada Rumah Anak Yatim Tuaran bersama Skuad Anti Dadah Sabah menggalakkan belia kita melakukan kerja amal dan menyumbang kepada mereka yang memerlukan.


“Saya yakin program ini akan menyemai perpaduan kalangan belia dalam sukan permotoran dua roda dan menanam nilai-nilai murni selaras dengan objektif acara ini.


“Selaras dengan komitmen kerajaan untuk memupuk belia sebagai barisan kepimpinan negeri dan negara seterusnya, saya berharap program seperti ini akan terus dianjurkan,” katanya.

Comments


bottom of page