RM468.7 juta peruntukan tangani kemiskinan, naik taraf akses di lapan daerah termiskin di Sabah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

RM468.7 juta peruntukan tangani kemiskinan, naik taraf akses di lapan daerah termiskin di Sabah


5 Julai 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kerajaan terus beriltizam untuk menoktahkan kemiskinan tegar tanpa mengira latar belakang kaum dan wilayah selaras dengan pembangunan inklusif di bawah Kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat.


Kementerian Ekonomi memaklumkan, bagi di Sabah keutamaan akan diberi untuk memantapkan penyediaan infrastruktur, mengoptimumkan potensi ekonomi, menambah baik akses kepada perkhidmatan sosial, mempertingkat pembangunan inklusif dan memperkukuh kerjasama antara agensi Persekutuan dan kerajaan negeri.


"Ini dilaksanakan untuk meningkatkan akses dan peluang ekonomi serta seterusnya meningkatkan pendapatan dan taraf hidup di Sabah.


"Dalam hubungan ini, lapan daerah yang mencatatkan kadar kemiskinan tegar tertinggi iaitu Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau, Lahad Datu, siling sebanyak RM468.7 juta bagi tahun 2024 telah diperuntukkan bagi melaksanakan projek atau program menangani kemiskinan, menaiktaraf akses dan ketersambungan.


Kementerian itu menyatakan demikian dalam satu jawapan bertulis terhadap Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau pada Sesi Soalan Lisan Persidangan Dewan Rakyat, di sini pada Khamis.


Dalam soalannya Madius meminta Menteri Ekonomi menyatakan program dan langkah- langkah serta projek-projek Kerajaan Persekutuan untuk menoktahkan kemiskinan lapan daerah Sabah yang termiskin di Malaysia (Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau, Lahad Datu).


"Apakah punca kemiskinan itu dan berapa peruntukan yang disalurkan bagi projek-projek untuk tujuan ini," soal Madius.


Menurut Kementerian Ekonomi, di bawah Program Khas Anak Negeri Sabah, sejumlah RM36.91 juta telah diperuntukkan bagi tahun 2024 antaranya untuk pembangunan mahkamah adat dan sosioekonomi yang melibatkan pengukuran tanah adat, keusahawanan dan modal insan.


"Berkaitan pelaksanaan Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), sehingga kini, sebanyak RM20.90 juta telah diperuntukkan kepada Negeri Sabah dan sebanyak 681 KIR telah menerima limpahan manfaat hasil daripada pelaksanaan program ini.


"Antara cabaran dalam menangani kemiskinan dan membangunkan masyarakat secara menyeluruh dan inklusif di Sabah termasuk isu kekurangan infrastruktur asas dan ketersambungan, ketersisihan sosial kumpulan sasar dan ekosistem penyampaian yang kurang berkesan.


"Isu-isu ini secara amnya boleh menjadi punca kepada kemiskinan yang berterusan dan kesukaran peningkatan mobiliti sosial," tambah kementerian itu lagi.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page