top of page
  • nabalunews

RM50 juta dana Celik Kewangan Belia MADANI untuk 1 juta pelajar IPTA




22 Ogos 2024


SHAH ALAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pemberian dana awal sebanyak RM50 juta kepada sejuta pelajar baharu institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi Program Celik Kewangan Belia MADANI.


Perdana Menteri berkata, nilai pelaburan permulaan percuma sebanyak RM50 akan dikreditkan ke dalam akaun pelajar termasuk institusi pengajian vokasional baharu.


Katanya, inisiatif itu dibangunkan bagi memastikan golongan belia di negara ini mula merancang kewangan pada usia muda dan secara terus membantu mengukuhkan kedudukan kewangan mereka apabila terus menyimpan dan melabur bersama Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) walaupun selepas tamat pengajian.


"Sasaran Celik Kewangan Belia MADANI adalah 200,000 pelajar setahun yang dibahagikan sama rata antara Permodalan Nasional Berhad (PNB), syarikat korporat dan Kerajaan.


"50 peratus sumbangan RM50 kepada pelajar adalah sumbangan kerajaan, manakala baki ditaja PNB dan syarikat korporat lain. Berdasarkan mekanisme inisiatif itu, RM50 akan dikreditkan ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Amanah Saham Malaysia (ASM) pelajar IPTA, di mana nilai ini akan dikunci bagi tempoh lima tahun," katanya seperti dilaporkan Berita Harian.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), di sini, hari ini.


Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.


Anwar berkata, beliau berharap kolej dan universiti akan memberi kerjasama untuk memudahkan pelaksanaan program berkenaan.


Katanya, program itu bukan saja program kecelikan tetapi memenuhi satu kerangka dasar penting dalam negara iaitu mengurangkan ketidakseimbangan golongan kaya dan miskin.


"Ia juga menyelamatkan negara daripada keresahan golongan yang merasakan mereka terpinggir," katanya.


Inisiatif Celik MADANI akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini akan diselaraskan oleh ASNB.


ASNB akan bekerjasama dengan IPTA, institusi pengajian vokasional serta penaja korporat untuk pendaftaran pelajar baharu sebagai pemegang unit ASNB dan menganjurkan kempen celik kewangan untuk pelajar.

Comentários


bottom of page