RM50 juta disediakan untuk usahawan francais tahun ini: Ewon
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_9867475d1a064ce1ac6fac2854a2ffe8~mv2.jpeg/v1/fill/w_980,h_735,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_9867475d1a064ce1ac6fac2854a2ffe8~mv2.jpeg)
28 Februari 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi agensinya Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) menyediakan pembiayaan francais bernilai RM50 juta tahun ini.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, seramai 290 usahawan disasarkan bakal menerima manfaat daripada pembiayaan itu.
“Pada tahun lalu (2023), Pernas telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM25.23 juta kepada 155 usahawan francais dan sekali gus mencipta 594 peluang pekerjaan melalui pelbagai program dan skim yang dijalankan dengan peruntukan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Peluncuran Pakej Francais ‘Focus Point Sightsavers’ & Sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Pernas dan Focus Point Care Group Sdn. Bhd.
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_759c1af320b448eab59ae0ac3669080f~mv2.jpeg/v1/fill/w_980,h_735,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_759c1af320b448eab59ae0ac3669080f~mv2.jpeg)
Ewon berkata, bagi mengukuhkan ekosistem keusahawanan supaya lebih holistik, Jemaah Menteri telah bersetuju agar ekosistem pembangunan serta kawal selia perniagaan francais diletakkan di bawah KUSKOP.
Katanya, ini bagi melengkapkan usaha yang dilaksanakan oleh Pernas dalam memacu keusahawanan francais di negara ini.
“Keputusan Jemaah Menteri tersebut menyokong penuh usaha KUSKOP dalam menyediakan Dasar Pembangunan Usahawan Francais Nasional 2030 (D- PUF 2030) yang sedang dimuktamadkan.
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_3fb66af011774a48897f5859d8568c72~mv2.jpeg/v1/fill/w_980,h_735,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_3fb66af011774a48897f5859d8568c72~mv2.jpeg)
“Dasar ini juga sejajar dengan kerangka ekonomi Madani khususnya dalam membangunkan ekonomi negara melalui industri francais,” katanya.
Sehubungan itu beliau berharap prestasi Pernas dapat dipertingkatkan lagi melalui perancangan strategik supaya hala tuju usahawan francais dijajarkan mengikut mandat yang diberikan kepada KUSKOP sebagai penyelaras tunggal program keusahawanan di peringkat nasional.
“Industri francais di negara kita berkembang dengan sangat baik. Kejayaan ini dapat dilihat apabila jualan industri francais mencatatkan peningkatan nilai jualan 105.48 peratus iaitu RM30 bilion pada 2021 berbanding RM14.6 bilion pada tahun 2020.
“Justeru, dengan sokongan kerajaan dan pihak Kementerian serta penglibatan secara komprehensif daripada Pernas dapat memberi galakan kepada lebih ramai pihak untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan francais,” katanya.
Comments