top of page
nabalunews

RM54.4 juta insentif kepada pesawah di Sabah

26 Oktober 2024


NABAWAN: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan dan insentif berjumlah RM54.4 juta kepada para pesawah di Sabah sepanjang tahun ini.


Timbalan Menteri KPKM, Datuk Arthur Kurup, menyatakan bahawa antara bantuan yang disalurkan melalui peruntukan ini termasuklah Bantuan Khas Sumbangan Tunai Fasa Satu 2024 berjumlah RM18.6 juta, yang telah memberi manfaat kepada seramai 31,028 pesawah di negeri itu.


Peruntukan ini juga merangkumi Bantuan Khas BERNAS berjumlah RM7.3 juta, yang memanfaatkan seramai 29,473 pesawah.


Katanya usaha ini bertujuan untuk memperkukuh sektor pertanian dan memastikan keterjaminan makanan di Sabah, sekaligus membantu meringankan beban kewangan golongan pesawah serta memajukan industri padi tempatan.


“Secara keseluruhan, KPKM menyalurkan RM54.4 juta dalam bentuk bantuan dan insentif untuk penanaman padi kepada pesawah di Sabah pada tahun ini.


“Selain insentif dan bantuan tanaman padi, KPKM juga menyalurkan peruntukan di bawah Peruntukan Pembangunan Rolling Plan Ke-4 (2024) melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) iaitu geran pembangunan berjumlah RM4.1 juta untuk Sabah.


“Geran pembangunan ini digunakan bagi membiayai pelbagai projek-projek pembangunan Pertubuhan Peladang dan uahawan peladang bagi meningkatkan pengeluaran agro makanan di Sabah,” katanya seperti dilaporkan Info X.


Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan bantuan di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Nabawan, di sini, semalam.


Sementara itu, Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata seramai 15,000 pesawah di kawasan pedalaman Sabah menerima Bantuan Baja dan Racun di bawah Skim Baja Padi Persekutuan (SBPKP), selain Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) dan Bantuan Khas Sumbangan Tunai Fasa Satu 2024 berjumlah RM13 juta.


Katanya, inisiatif yang disalurkan menerusi LPP itu nembabitkan pesawah di daerah Nabawan, Keningau, Tenom dan Tambunan.


Pada majlis itu, beliau turut menyeru agar pesawah di Sabah khususnya yang berdaftar dengan PPK supaya menyertai Skim Tanaman Takaful Padi (STTP) yang menawarkan perlindungan takaful dengan jumlah maksimum RM3,000 setiap hektar semusim.


“Skim takaful ini bagi kerosakan tanaman padi yang diakibatkan bencana. Usaha ini adalah inisiatif hasil kerjasama KPKM dengan Agrobank bagi menangani risiko dihadapi petani yang terdedah kepada ancaman bencana termasuk penyakit dan makhluk perosak dengan kadar pampasan yang lebih baik,” katanya.


Dalam pada itu, katanya menerusi Belanjawan 2025, Arthur berkata KPKM menerima peningkatan peruntukan sebanyak 4.1 peratus bagi membantu meningkatkan produktiviti sektor agro makanan negara.


Katanya, ia termasuk usaha KPKM untuk meneruskan pemberian subsidi, insentif dan bantuan kepada pesawah pada tahun depan.


“Peruntukan untuk pemberian insentif kepada pesawah pada 2025 meningkat 5.5 peratus kepada RM2.6 bilion, berbanding RM2.46 bilion pada tahun ini,” katanya.

Comments


bottom of page