top of page

RM800 juta diperlukan untuk Pakej 2 dan 4 projek tebatan banjir Penampang, diangkat ke RMK13

nabalunews

24 Februari 2025


PENAMPANG: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebanyak RM800 juta diperlukan untuk melaksanakan Pakej 2 dan Pakej 4, projek tebatan banjir Penampang.


Beliau berkata, peruntukan tambahan itu akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).


Katanya, beberapa pakej rancangan tebatan banjir (RTB) telah dilaksanakan tetapi masih ada pakej belum selesai dan perlu dibuat bagi mengatasi masalah banjir di kawasan Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.

“Kita memerlukan sehingga RM800 juta peruntukan tambahan yang akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 untuk dilaksanakan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan ke Projek RTB Persekitaran Kawasan Lido, Bandaraya Kota Kinabalu, di sini, hari ini.


Turut mengiringi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick.

Rancangan Tebatan Banjir Lido yang merangkumi pembinaan kolam takungan dan pembinaan pam serta sistem untuk menghalang kemasukan air pasang adalah sebahagian daripada program Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Moyog yang membabitkan daerah Penampang, Putatan dan Kota Kinabalu.


Projek itu dijadualkan siap pada Mac ini namun syarikat kontraktor yang dipertanggungjawabkan mendapat tambahan masa sehingga Jun tahun depan berikutan kelewatan penyiapan kerja-kerja.


Ditanya mengenai kelewatan itu, Ahmad Zahid berkata, ia disebabkan pemindahan utiliti dan pengambilalihan tanah.


Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, secara keseluruhannnya sebanyak RM22 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan RTB di kawasan yang sering dilanda banjir seluruh negara.


Katanya, jumlah itu meliputi kawasan yang sedang dikenal pasti untuk pelaksanan projek bagi mengatasi masalah banjir pada masa hadapan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page