Rowindy dan UPKO Kimanis hulur bantuan kepada mangsa banjir di Membakut

14 Februari 2024
MEMBAKUT: Ketika ramai menyambut Hari Kekasih, Rowindy Lawrence bersama UPKO Kimanis memilih untuk menzahirkan kasih sayang dengan menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas baru-baru ini.
Ahli Majlis Tertinggi Eksekutif UPKO Malaysia, Rowindy Lawrence, berkata beliau telah dihubungi oleh JKKK Kampung Bandau, Russell Flavian, semalam, dimana terdapat 45 Ketua Isi Rumah (KIR) yang memerlukan bantuan.

“Difahamkan mereka tidak dapat dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Membakut kerana penuh.
“Bantuan ini merupakan sumbangan peribadi saya. Bantuan diteruskan secara berfasa dan hari ini saya bersama UPKO Kimanis membuat pengagihan kepada 45 Ketua Isi Rumah (KIR) di sekitar Kampung Tamoi, Kampung Kinanap, Kampung Biau, dan Kampung Bandau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Banjir kali ini melibatkan 257 Ketua Isi Rumah (KIR) yang ditempatkan di tiga buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di dua daerah, iaitu Membakut dan Beaufort.

Turut serta dalam misi ini adalah Ketua Kampung Bandau, Jiffery Adoi; Ketua Generasi Muda UPKO Kimanis yang juga JKKK Kampung Bandau, Russell Flavian; Ketua Pemuda UPKO Kimanis, Royston Adven; Setiausaha Wanita UPKO Kimanis, Chelsiea Japanis; Generasi Muda UPKO Kimanis, Carmen Ling Siaw Wen dan Martin Chay; serta Timbalan Ketua Pemuda, Jambry Davin dan Horis Sintoh dari Pemuda UPKO Kimanis.
Comments