Rowindy, pengerusi baharu biro hubungan antarabangsa UPKO
29 Sept 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Rowindy Lawrence Odong, seorang wanita yang aktif dalam politik telah dilantik sebagai pengerusi baharu biro hubungan antarabangsa Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
Beliau merupakan satu-satunya wanita yang mendapat peluang untuk menjadi salah satu pembuat keputusan dalam 10 biro yang ditubuhkan oleh UPKO.
Dalam pada itu, Rowindy turut menzahirkan rasa syukur kepada Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, dan ahli-ahli majlis tertinggi atas kepercayaan dan lantikan tersebut. Beliau juga berjanji akan menggalas tanggungjawab dengan sebaik mungkin.
"Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Presiden dan Ahli-ahli Majlis Tertinggi UPKO kerana diberi peluang untuk mewakili wanita dalam biro ini.
"Saya akan menggalas tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin. Saya percaya bahawa wanita mempunyai peranan penting dalam politik dan hubungan antarabangsa," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Terdahulu, Ewon mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UPKO, dimana mesyuarat tersebut bersetuju menubuhkan 10 biro untuk memantapkan lagi perjuangan parti itu.
Rowindy, yang juga ahli majlis tertinggi eksekutif UPKO, timbalan setiausaha penganjur, juga merupakan bekas calon PRU15 Parlimen Kimanis.
Antara tugas-tugas biro hubungan antarabangsa UPKO ialah membincangkan kerjasama dengan institusi luar negara terkait demokrasi dan polisi awam, membincangkan penglibatan belia dan wanita UPKO dengan institusi bukan politik dalam negara, membincangkan penyertaan parti dalam pelaksanaan SDG 2030, membincangkan kerjasama dengan siswa/siswi di IPTA/IPTS dalam dan luar negara, serta membincangkan kerjasama dengan NGO-NGO dalam negara yang bersesuaian.
Comments