Rumah Lima sekeluarga musnah terbakar

27 Februari 2025
PAPAR: Lima sekeluarga hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka di Kampung Nyaris-Nyaris, Bongawan, di sini, musnah terbakar, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, semua mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis Jaffar Salleh berkata, pihaknya menerima panggilwm kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 11.39 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.
"Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis separuh kekal dengan keluasan 139 meter persegi yang terbakar sepenuhnya.
"Turut terbakar, sebuah kereta Proton Wira dan sebuah Motorsikal Honda NSR," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dengan dua pancutan daripada sumber air jentera serta pili bomba.
“Api berjaya dikawal dalam tempoh 30 minit selepas operasi pemadaman dijalankan sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.26 petang.
"Setakat ini, jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan unit Forensik JBPM," katanya.