Rumah Sukan Nabalu ungguli Kejohanan Olahraga SK Melangkap 2024-2025
9 Januari 2025
KOTA BELUD: Rumah Sukan Nabalu muncul juara keseluruhan dalam Kejohanan Olahraga Sekolah Kebangsaan (SK) Melangkap 2024-2025 yang berlangsung semalam di Kompleks Sukan Botung, Kota Belud.
Kejohanan ini menyaksikan persaingan sengit antara empat rumah sukan iaitu Nopungguk, Nadau, Nabalu, dan Nungkok. Nabalu berjaya mengatasi cabaran pasukan lain melalui pencapaian cemerlang atlet mereka dalam pelbagai acara sukan sepanjang kejohanan.
Walaupun Nabalu meraih gelaran juara keseluruhan dengan pungutan pingat 8 emas, 4 perak dan 7 gangsa, Rumah Sukan Nadau tetap mencuri perhatian dengan pencapaian luar biasa dalam kategori individu.
Grady O'Connery Wiktor dinobatkan sebagai Olahragawan Kejohanan, manakala Elleora Lynelle Kurupong pula menerima gelaran Olahragawati. Kedua-dua mereka merupakan atlet daripada Rumah Sukan Nadau yang menunjukkan keunggulan dalam acara masing-masing.
Selain itu, Rumah Sukan Nadau turut memenangi kategori Perbarisan Terbaik, membuktikan komitmen tinggi dan kreativiti dalam persembahan mereka.
Guru Besar SK Melangkap, Holen Sayaman menjelaskan, beliau menekankan kepentingan sukan dalam membentuk individu holistik.
Menurutnya, aktiviti sukan selaras dengan falsafah pendidikan kebangsaan yang bertujuan menggalakkan perkembangan intelek, jasmani, rohani, emosi, dan sosial kanak-kanak.
Beliau juga menekankan bahawa sukan bukan sekadar medium persaingan, tetapi peluang membentuk semangat kesukanan, disiplin, dan kerjasama antara pelajar.
Perasmian Penutupan Kejohanan ini dirasmikan oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Sektor Pengurusan Sekolah Unit Pendidikan Swasta, Justin Nuin.