Runner minyak ditahan di Tawau
6 Januari 2025
TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau menahan sebuah bot penumpang disyaki ‘runner minyak’ di perairan Batu 3 bersama muatan 250 liter minyak petrol dipercayai hendak diseludup keluar sekitar jam 9.55 malam, pada Sabtu lalu.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, juragan bot tersebut, seorang lelaki warga tempatan, 24, turut ditahan untuk siasatan.
"Pergerakan laju bot penumpang tersebut dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh bot peronda Maritim Malaysia yang dalam penugasan Op Pluto Timur dan Op Tiris, sebelum berjaya dipintas,"katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas bot penumpang itu menemukan 10 gelen petrol dianggarkan 250 liter yang dipercayai cuba diseludup keluar apabila tiada sebarang permit kebenaran.
Kes itu, katanya, disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.
Dalam pada itu, Shahrizan berkata, Zon Maritim Tawau melaksanakan 9,187 pemeriksaan vesel di laut dan merekodkan 108 tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan khusus di perairan Tawau, sepanjang tahun lepas.
Katanya, tangkapan tersebut melibatkan jumlah nilai rampasan dianggarkan RM12.2 juta yang merupakan rekod tertinggi pernah dicatatkan berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Tambahnya, kedudukan perairan Tawau yang berada di garisan persempadanan antara Malaysia dan Indonesia menjadi cabaran utama bagi melaksanakan penguatkuasaan.
Malah pihaknya juga tidak menolak kemungkinan wujudnya 'runner' yang menjalankan aktiviti membawa barang kawalan ini dalam kuantiti kecil, namun secara berulang bagi menembusi pasaran di negara jiran.
Manakala, bagi kes-kes Carilamat, tahun lepas menyaksikan penurunan laporan kes berkaitan di daerah ini apabila hanya satu kes sahaja direkodkan.
Comments