top of page
  • nabalunews

Rusia yakin perdagangan dengan Malaysia akan terus berkembang – Putin

5 September 2024


VLADIVOSTOK: Presiden Rusia, Vladimir Putin, menyuarakan keyakinan terhadap potensi besar dalam memperluaskan perdagangan antara Rusia dan Malaysia yang kini menghampiri AS$3.5 bilion

atau RM15.23 billion.


Menurut beliau, hubungan ekonomi antara kedua-dua negara dijangka terus berkembang dengan lebih pesat, terutama apabila Malaysia mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025.


Putin mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Vladivostok pada Rabu, di mana kedua-dua pemimpin membincangkan peluang memperkukuhkan hubungan antara Rusia dan negara-negara ASEAN.


"Kami telah lama memfokuskan pembangunan hubungan dengan ASEAN, dan semua pihak tahu bahawa Malaysia memainkan peranan utama dalam organisasi ini," kata Putin, dipetik oleh Kremlin.ru.


Presiden Rusia itu juga berharap kepengerusian Malaysia dalam ASEAN akan membuka peluang kerjasama yang lebih erat antara Rusia dan negara-negara ASEAN yang semakin berkembang.


"Saya menjangkakan semasa kepengerusian Malaysia, kita akan menemui lebih banyak titik hubungan baharu dengan rantau ini," tambah beliau.


Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Putin sempena lawatan kerja dua hari beliau di Vladivostok.


Pertemuan ini dilihat sebagai langkah penting dalam mengukuhkan hubungan ekonomi dan diplomatik antara Malaysia dan Rusia.


Anwar dijadualkan menyampaikan ucapan pada sesi pleno Forum Ekonomi Timur (EEF) kesembilan lewat hari ini.


Forum ini merupakan platform penting untuk membincangkan peluang kerjasama ekonomi di rantau Asia Timur, yang turut melibatkan negara-negara ASEAN.

Comments


bottom of page