top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sabah ada potensi besar dalam industri teknologi dron


Ketua Menteri Sabah ditemani Datuk Arthur Joseph Kurup mendengar penerangan oleh Juffri Kassim, wakil Kelab Dron Sabah.

26 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah mempunyai potensi yang besar dalam industri teknologi dron yang boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial negeri, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Datuk Arthur Joseph Kurup.


Beliau berkata, industri dron dijangka memberi impak positif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dengan nilai kira-kira RM50.71 bilion menjelang tahun 2030, termasuk RM2.77 bilion daripada sektor pertanian, RM20.73 bilion daripada sektor pembuatan/industri dan RM28.14 bilion daripada sektor perkhidmatan.


"Industri dron juga boleh menyediakan kira-kira 100,000 peluang pekerjaan berkualiti tinggi di seluruh negara," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sabah Drone Open Day 2023 di sini hari ini.


Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor.


Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, Kerajaan Sabah melalui SEDIA telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam meneroka potensi industri teknologi dron (DroneTech) dengan kerjasama Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI).


Tambah beliau, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui MRANTI juga telah membangunkan Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022 - 2030 (MDTAP30) bagi menyokong ekosistem dan pembangunan industri dron negara.


"Sabah mempunyai potensi yang tinggi untuk merebut peluang ekonomi dalam industri dron seiring dengan lapan misi yang digariskan dalam MDTAP30. Ini termasuklah potensi dalam sektor pertanian bagi mencapai hasil yang lebih tinggi dan mengurangkan penggunaan buruh," katanya.


Jelas beliau, teknologi dron akan mempermudah dan mempercepatkan gerak kerja yang melibatkan logistik termasuklah bertindak sebagai sistem sokongan untuk pasukan keselamatan, pemetaan tanah, pemantauan sempadan antara negara dan alternatif logistik bagi pembekalan perubatan ke kawasan yang terpencil.


"Selain itu, terdapat potensi ekonomi dalam membangunkan fasiliti dan operasi pembuatan serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) yang seterusnya dapat menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja mahir bagi memenuhi permintaan pasaran industri dron tempatan dan antarabangsa," katanya.


Arthur berkata, beliau percaya sudah tiba masanya Sabah memberikan tumpuan dalam membangunkan ekosistem yang mesra industri teknologi dron bagi memacu sumber ekonomi baharu yang dapat memberi manfaat yang tinggi kepada rakyat Sabah.


"Semoga inisiatif yang dilancarkan pada hari ini akan menjadi titik tolak kepada kerjasama yang lebih luas dan erat antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan bagi merancakkan landskap industri teknologi dron di peringkat domestik dan antarabangsa," katanya.


Sabah Drone Open Day 2023 adalah satu program anjuran SEDIA dengan kerjasama MRANTI yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan minat masyarakat terhadap industri teknologi dron serta menampilkan produk dan perkhidmatan dron tempatan.


Program ini turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran dron, pertandingan dron, bengkel dron, demonstrasi dron dan ceramah dron.




Comments


bottom of page