top of page
nabalunews

Sabah antara negeri dijangka alami hujan lebat sepanjang Monsun Timur Laut

5 November 2024


KOTA KINABALU: Jabatan Metreologi Malaysia (MET Malaysia) berkata, hujan lebat dijangka akan melanda enam negeri termasuk Sabah sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh yang bermula hari ini sehingga Mac tahun depan.


Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, menyatakan bahawa cuaca buruk ini turut melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, dan Sarawak.


Menurut Dr Mohd Hisham, sebanyak lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku dari November hingga Disember 2024, manakala episod tambahan dijangka pada Januari hingga Februari 2025 di Sabah, Sarawak, Pahang, dan Johor. Hujan lebat berterusan ini berpotensi mengakibatkan banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai.


“Jika hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko banjir boleh menjadi lebih ekstrem,” katanya dalam satu kenyataan media.


Tambah beliau, tiupan angin timur laut yang kencang juga boleh menyebabkan laut bergelora dan meningkatkan risiko kenaikan paras laut serta ombak besar di perairan Laut China Selatan.


Menjelang fasa akhir MTL antara Januari hingga Mac 2025, bahagian utara Semenanjung dijangka kurang hujan, menyebabkan cuaca panas dan kering yang berpotensi mencetuskan gelombang haba.


“Walaupun begitu, keadaan diramalkan tidak seteruk 2024 kerana fenomena La Nina dijangka bermula akhir tahun ini hingga pertengahan tahun depan,” jelasnya.


Dr Mohd Hisham menasihatkan orang ramai agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dengan sentiasa peka kepada maklumat, ramalan, dan amaran cuaca terkini daripada MET Malaysia melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi MET Malaysia, atau hotline 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.

Comments


bottom of page