top of page

SABAH BEKERJASAMA DENGAN UPM BANGUNKAN LEMBAH TENUSU DI KENINGAU

nabalunews

14 DIS 2020


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah akan bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi membantu mengkaji, merancang dan membangunkan lembah tenusu di Keningau.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jeffrey Kitingan dalam perbincangan dua hala dengan universiti itu Khamis lepas, mencadangkan agar pusat kemudahan lembah itu dibina di Tambunan.

“Pada masa ini tanah rizab di Tambunan berkeluasan 9,150 hektar tidak termasuk Bingkor dan Liawan dalam kawasan perbandaran Keningau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata lembah tenusu itu akan disokong oleh beberapa ladang satelit yang akan dibangunkan di rizab padang ragut berdekatan.

Bagaimanapun, mesyuarat berkenaan yang pertama kali diadakan antara kerajaan Sabah dengan universiti itu tidak menetapkan tarikh akhir mengenai bila laporan kajian itu akan disiapkan untuk penilaian.

Jeffrey berkata projek lembah tenusu di Sabah itu adalah satu daripada lima lembah tenusu di bawah Program Pembangunan Industri Tenusu Negara yang bertujuan memastikan kadar sara diri pengeluaran susu segar domestik menjelang 2025.


Beliau berkata UPM mempunyai kepakaran teknikal dalam membangunkan lembah tenusu menerusi Pusat Kecemerlangan Industri Tenusu.

“Universiti itu juga mengusahakan ladang tenusu berjaya dan baru-baru ini bekerjasama dengan Farm Fresh Sdn Bhd untuk memperkukuhkan kapasiti pengeluaran tenusu domestik menerusi Pusat Kecemerlangan Industri (ICOE) Ladang Tenusu UPM-Farm Fresh. - Bernama

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page