Sabah benarkan rumah ibadat bukan islam dibuka dengan kapasiti 50 peratus
3 Nov 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah membenarkan rumah ibadat bukan Islam dari jam 6 pagi hingga 10 malam, dengan bilangan penganut sebanyak 50 peratus daripada kapasiti ruang ibadat.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata kebenaran tersebut adalah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) terbaharu dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3 bagi negeri Sabah bertarikh 3 Nov.
Antara perubahan terbaharu dalam SOP tersebut ialah kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dibenarkan hadir tertakluk kepada ibu bapa mereka lengkap divaksin.
Manakala SOP lain adalah tertakluk seperti biasa iaitu para penganut diwajibkan untuk sentiasa memakai pelitup muka, melakukan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dan dinasihatkan kerap mencuci tangan atau menggunakan hand sanitizer.
“Pihak pengurusan rumah ibadat perlu menyediakan kaunter pemeriksaan suhu di pintu masuk rumah ibadat serta kehadiran penganut juga perlu direkod menggunakan aplikasi MySejahtera atau SabahTrace.
“Sebarang aktiviti seperti berkumpul di luar rumah ibadat, bersalaman atau bersentuhan, dan berkongsi peralatan sembahyang adalah tidak dibenarkan sama sekali,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambah Masidi, pihak pengurusan juga perlu melakukan pembersihan ruang dan kawasan sekitarnya termasuk tandas sebelum acara keagamaan serta melakukan kerja-kerja sanitasi selama 30 minit selepas setiap sesi sembahyang.
“Aktiviti lain seperti kelas keagamaan dan kebudayaan di dalam atau luar rumah ibadat juga adalah tidak dibenarkan,” katanya.
Commentaires