Sabah Electricity rugi RM30 juta setahun akibat aktiviti curi ‘karan’

21 Februari 2025
KOTA KINABALU: Sabah Electricity mendedahkan syarikat utiliti berkenaan mengalami kerugian mencecah RM30 juta setahun akibat kegiatan penyambungan elektrik secara haram.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, berkata Sabah Electricity akan berusaha mengukuhkan bekalan tenaga di Sabah pada tahun ini.
Katanya, pihaknya juga bertekad untuk meneruskan momentum dalam membanteras sambungan haram di seluruh Sabah.

"Berdasarkan statistik pada 2024, sebanyak 1,000 operasi dilaksanakan, iaitu 200 Op Bersepadu dan 800 lagi Op Dalaman.
"Dianggarkan kadar 'System Loss' yang berpunca daripada sambungan haram adalah dua peratus bersamaan dengan RM30 juta kerugian setahun," kata.
Terbaharu, Sabah Electricity bersama beberapa agensi melancarkan satu Operasi Bersepadu membanteras kegiatan sambungan haram pada 18 Februari lalu di sekitar ibu negeri.

Antara agensi yang terbabit ialah Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Jabatan Imigresen dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Operasi itu turut disertai sendiri pihak pengurusan Sabah Electricity yang diketuai Ketua Pegawai Operasinya, Ir Mohd Yusmanizam Mohd Yusof.
Sepanjang operasi itu, sebanyak 50 rumah dikesan menggunakan penyambungan haram bagi mendapatkan bekalan elektrik secara tidak sah.

Katanya, Op Bersepadu itu turut merampas kira-kira 800 kilogram wayar aluminium yang digunakan untuk penyambungan haram.
"Sabah Electricity akan sentiasa memantau dan mengambil tindakan terhadap pihak yang didapati terbabit dengan kegiatan penyambungan atau pengusikan pepasangan Sabah Electricity.
"Ia selari dengan peruntukan Seksyen 61 (3) Enakmen Bekalan Elektrik. Seluruh warga Sabah diminta agar dapat melaporkan dan bertindak bersama dalam usaha memberhentikan kegiatan sambungan haram ini," katanya.
Kegiatan itu katanya adalah satu jenayah yang boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 61 (3) Enakmen Bekalan Elektrik dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Comments