Sabah Electricity siap sedia bantu sepanjang bencana banjir
30 Januari 2025
KOTA KINABALU: Sabah Electricity sedia mengerahkan pasukan teknikal 24 jam bagi memantau dan membaiki sebarang kerosakan elektrik akibat banjir di seluruh negeri.
Ketua Pegawai Operasinya, Ir Mohd Yusmanizam Mohd Yusof, berkata pihaknya juga bersedia untuk menempatkan set janakuasa bergerak di lokasi-lokasi strategik sekiranya ada keperluan.
“Berikutan keadaan banjir serta hujan lebat berterusan di beberapa daerah di negeri ini sejak beberapa hari lalu, Sabah Electricity akan terus memantau dengan rapi bekalan elektrik di kawasan-kawasan yang terjejas banjir.
“Persiapan rapi sudah dilaksanakan dengan mengerahkan pasukan teknikal bersiap sedia 24 jam untuk membaiki sebarang kerosakan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Setakat ini, hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu dilaporkan menyebabkan banjir di Telupid, Beluran, Kota Belud, Kota Marudu, Ranau dan Lahad Datu.
Sementara itu, Mohd Yusmanizam berkata, atas dasar keselamatan, bekalan di pencawang elektrik yang ditenggelami banjir terpaksa dimatikan.
Katanya, kerja-kerja pembaikan akan dibuat sejurus selepas paras air surut dan keadaan selamat.
“Buat masa ini, keselamatan orang ramai yang terjejas akibat banjir adalah keutamaan kami dan kita juga akan pastikan pemulihan bekalan dapat disegerakan apabila keadaan benar-benar selamat.
“Sabah Electricity juga membuka bilik gerakan di semua daerah yang terjejas banjir untuk memantau keadaan dan bertindak segera jika ada bahaya berkaitan keselamatan elektrik.
“Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika musim banjir dinasihatkan untuk segera menghubungi Sabah electricity di talian 15444, 088-515000 atau Whatsapp 019- 852 5427,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Yusmanizam menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati menggunakan peralatan elektrik sekiranya premis mereka dinaiki air.
“Jangan menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembab kerana ia boleh menyebabkan renjatan elektrik,” katanya.
Comments