top of page
nabalunews

Sabah FC akhiri saingan AWCL dengan mengutip 1 mata


10 Oktober 2024


WUHAN (China) : Skuad bolasepak wanita Sabah FC akhirnya mengutip mata pertama ketika mengakhiri saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Wanita Asia (AWCL) dengan keputusan seri 2-2 menentang wakil Emiriah Arab Bersatu, Abu Dhabi Country Club, di Wuhan, China, petang semalam.


Meskipun bermain dengan 10 pemain sejak minit ke-26, Sumandak Sabah menunjukkan semangat juang tinggi, pantang menyerah dan berjaya mengikat pasukan lawan yang telah menewaskan pasukan Wuhan Jiangda dan seri menentang pasukan Incheon Red Angels sebelum ini.


Untuk rekod, Sabah tewas dalam dua aksi pertama menentang Incheon Red Angels 0-3 dari Korea Selatan dan 0-7 menentang pasukan tuan rumah Wuhan Jiangda.


Dalam perlawanan petang semalam, Sabah sebenarnya masih berpeluang untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya menerusi slot dua pasukan terbaik di tangga ketiga, namun misi itu nyata sukar apabila Sabah harus menewaskan pasukan dari UAE itu dengan jumlah jaringan yang sangat besar.


Dua gol Sabah dijaringkan pemain import dari Jepun, Eri Narita di minit ke 10 dan Intan Serah pada minit ke-77.


Meskipun demikian, skuad bolasepak wanita Sabah mengucapkan jutaan terima kasih di atas sokongan yang tidak berbelah bagi daripada semua pihak khususnya peminat setia pasukan bolasepak Sabah.


Untuk rekod, ini merupakan kali pertama pasukan dari Malaysia layak ke kejohanan berprestij itu yang menampilkan antara kelab bolasepak wanita terbesar dunia.


"Ini cuma permulaan kepada lebih banyak kegemilangan bolasepak wanita dimasa akan datang," kata skuad bolasepak wanita Sabah dalam catatan di laman Facebook selepas berakhir saingan petang tadi.

Comments


bottom of page