Sabah FC melangkah ke suku akhir Piala Malaysia
28 November 2024
KUALA LUMPUR: Sabah FC membuktikan kekuatan mereka dengan mara ke suku akhir Piala Malaysia 2024/2025 selepas menewaskan PT Athletic dengan agregat 7-0, termasuk kemenangan 3-0 pada aksi timbal balik di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.
Beraksi tanpa ketua jurulatih selepas peletakan jawatan Datuk Ong Kim Swee Khamis lalu, skuad Sang Badak menerima tentangan sengit pada separuh masa pertama yang berakhir tanpa jaringan.
Namun, kesabaran Sabah berbaloi apabila Abdul Latiff Suhaimi dipersalahkan menjatuhkan Muhammad Farhan Roslan menerusi semakan VAR.
Penyerang Darren Lok tidak mensia-siakan peluang menyempurnakan penalti pada minit ke-67 untuk membuka tirai jaringan, lapor Bernama.
Gol kedua Sabah hadir enam minit kemudian menerusi rembatan kencang Stuart Wilkin hasil hantaran Telmo Castanheira. Kemenangan mereka dilengkapkan penyerang Brazil, Joao Pedro, yang menanduk masuk hantaran lintang Danial Ting pada minit ke-81.
Pedro hampir mencetak gol kedua peribadi apabila sepakan penalti keduanya pada minit ke-83 berjaya diselamatkan penjaga gol Muhammad Syakir Danial Ma'amal Hajri selepas bola terkena tangan pemain lawan.
Sabah, yang merupakan naib juara tiga kali, akan berdepan pemenang antara Penang FC dan Kuching City FC di peringkat suku akhir.
Comments