top of page
nabalunews

Sabah Mineral Management kesan salah laku bekas CEO




18 November 2025


KOTA KINABALU: Siasatan dalaman secara menyeluruh oleh Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) mendapati wujud pelanggaran tugas fidusiari dan dakwaan salah laku oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu, Jontih Enggihon.


CEO baharu SMM, Natasha Sim, berkata susulan penemuan itu, syarikat membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Katanya, siasatan dalaman turut mendedahkan berlaku penyampaian maklumat salah kepada lembaga pengarah SMM dan salah laku bekas CEO itu sepanjang mengetuai syarikat berkenaan.


"Sebagai tindak balas kepada penemuan ini, syarikat membuat laporan rasmi kepada SPRM dan PDRM," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


SMM ialah anak syarikat kerajaan (GLC) Sabah yang bertanggungjawab dalam pengurusan sumber mineral negeri.


Nama syarikat itu menjadi perhatian selepas pendedahan rakaman video di sebuah portal berita baru-baru ini.


Antara lain, ia memaparkan temu bual bekas CEO syarikat itu berhubung isu berkaitan mineral ketika beliau menjadi CEO sehingga tamat kontrak pada Ogos lalu.


Ia berkaitan dakwaan skandal rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan Sabah yang kini dalam proses siasatan SPRM.


Natasha berkata, siasatan dalaman syarikat mengenal pasti beberapa kes yang mana bekas CEO itu bertindak melebihi kuasanya.


Katanya, bekas CEO itu juga mengambil tindakan bertujuan memberi manfaat kepada entiti yang memiliki potensi konflik kepentingan, selain bersekongkol dengan pihak ketiga yang mewakili kartel kepentingan.


"Tindakan ini dilakukan tanpa pengetahuan atau kelulusan Lembaga Pengarah, ia satu pelanggaran serius terhadap dasar dan piawaian tadbir urus syarikat," katanya seperti dilaporkan Berita Harian.


Selaras komitmen syarikat terhadap ketelusan dan pematuhan undang-undang, Natasha berkata, SMM turut melantik penasihat undang-undang luar untuk menentukan tindakan sivil selanjutnya terhadap bekas CEO itu.


Tindakan itu, katanya, bagi mendapatkan ganti rugi atas sebarang kerugian kewangan atau kerosakan reputasi yang ditanggung syarikat.


"SMM kekal komited menegakkan piawaian tertinggi dalam tadbir urus korporat, ketelusan dan akauntabiliti dalam semua operasinya.


"Syarikat berdedikasi melindungi kepentingan pemegang saham dan rakyat Sabah serta tidak akan bertoleransi terhadap sebarang bentuk salah laku yang menjejaskan integriti operasinya," katanya.


Natasha berkata, SMM bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM dan PDRM dalam siasatan mereka dan akan terus memberi bantuan diperlukan bagi memastikan isu itu ditangani mengikut undang-undang negara.


"Kenyataan ini bagi memastikan semua pihak berkepentingan dimaklumkan sepenuhnya mengenai tindakan syarikat dan komitmen terhadap pengurusan yang bertanggungjawab," katanya.

Comments


bottom of page