Sabah perlu agihan belanjawan lebih rasional dalam RMK12
4 Okt 2021
Oleh Rizoh Evied
Menurut laporan Jabatan Perangkaan Negara 2020, Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Johor, Sarawak, Pulau Pinang dan Sabah merupakan penyumbang utama kepada KDNK Negara dengan jumlah sumbangan sebanyak 72.1% (2019: 72.3).
Sabah menyumbang RM77.51 Bilion kepada KDNK Negara tersebut. Ini memberikan gambaran bahwa perkembangan ekonomi di Sabah dapat membantu meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi negara melalui peningkatan nilai KDNK.
Sabah yang turut mengalami kesan pandemik Covid-19 bagi kesemua lima bidang ekonomi utama negara, telah mencatat pertumbuhan ekonomi paling tercorot berbanding negeri-negeri lain.
Pertumbuhan negatif ini turut mempengaruhi peningkatan kadar kemiskinan yang sudah pun mencapai 19.5 %, iaitu yang tertinggi di seluruh negara. Kesan negatif kepada ekonomi Sabah ini secara langsung telah mendorong penurunan nilai KDNK Negara dan kadar pertumbuhan ekonomi Negara.
Sungguh pun Sabah merupakan salah satu penyumbang utama kepada KDNK Negara, namun kadar kemiskinan di negeri ini masih lagi tertinggi dalam negara setelah 58 tahun pembentukan Persekutuan Malaysia. Malah, lapan daripada 10 daerah termiskin di Malaysia berada di Sabah selepas Kerajaan Persekutuan melaksanakan 11 Rancangan Malaysia (RMK) sebelum ini.
Justeru itu, pembangunan ekonomi di Sabah perlu diberi perhatian serius oleh Putrajaya dalam RMK12 agar jurang kemiskinan tersebut dapat dikurangkan dan impak pertumbuhan ekonomi negara dapat memberi manfaat kepada penduduk Sabah.
Belanjawan 2021 telah memperuntukan RM5.06 bilion bagi Sabah dan jumlah tersebut hanya cukup untuk membiayai kos penyeleggaraan, namun tidak dapat dimanfaatkan untuk pelaksanaan program pembangunan baharu. Perlu dicermati bahwa daerah-daerah di Sabah seperi Kinabatangan, Tongod dan Beluran sahaja boleh menyamai luas dua hingga tiga negeri di Semenanjung bagi satu daerah tetapi agihan peruntukan pembangunan begitu kecil.
Sebab itu, agihan peruntukan bagi Sabah dalam belanjawan-belanjwan selama ini tidak mencukupi untuk membangunan sebuah negeri yang luas.
Sabah memerlukan agihan belanjawan yang lebih rasional dalam RMK12 dan dalam belanjawan tahunan negara dengan mengambil kira saiz wilayah dan sumbangan Sabah kepada KDNK Negara. Tambahan pula, Sabah antara penyumbang utama kepada KDNK Negara dan berhak menerima semula 40% jumlah hasil yang dikutip oleh Putrajaya dari Sabah. Malah Sabah juga merupakan salah satu dari tiga wilayah yang sama-sama membentuk persekutuan yang kita kenali sebagai Malaysia pada hari ini.
Dalam pada itu, kerajaan Sabah perlu mengambil inisiatif untuk mengubal atau meminda undang-undang bagi mendukung usaha menuntut semula hak-hak Sabah terkait dengan peruntukan pembangunan termasuklah 40% hasil kutipan dan memperkasa jabatan/agensi Negeri sedia ada.
Selain itu, kerjaaan Sabah perlu juga merangka dasar dan mewujudkan program baru serta mengetengahkan inovasi terkini dalam menangani keperluan pembangunan ekonomi komuniti dan penyaluran insentif atau bantuan kepada kumpulan sasaran.
Коментари