Sabah perlu contohi tata kelola bekalan elektrik kerajaan Persekutuan dan Sarawak
19 Oktober 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Sabah perlu mencontohi sistem tata kelola bekalan tenaga elektrik Kerajaan Persekutuan dan Wilayah Sarawak apabila urus tadbir diserahkan kepada kerajaan negeri pada tahun hadapan.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, apabila urus tadbir bekalan elektrik diserahkan pada awal tahun hadapan, kita harapkan sistem governans bertambah baik dari yang sedia ada sekarang.
"Kerajaan Sabah harus mencontohi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak dimana terdapat tiga komponen utama dalam tata kelola tenaga.
"Sebagai contoh, di peringkat pesekutuan ada Pembuat Dasar yakni Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim; ada ada Pengawal Selia atau Regulator yakni Suruhanjaya Tenaga (ST), dan ada Syarikat Utiliti yakni Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Ketiga-tiga komponen ini bekerjasama secara satu Pasukan ataupun a seamless governance dan bukannya bekerja in silos trying to outdo one another," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi persidangan Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.
Ujar Madius, Kerajaan Sabah perlu diperingatkan bahawa walaupun hal bekalan elektrik adalah hal persekutuan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, namun kerajaan persekutuan telah memberi tanggungjawab utiliti ini kepada wilayah itu sejak pembentukan Malaysia.
"Walau bagaimanapun pada tahun 1982, Kerajaan Sabah sendiri menyerahkan urus tadbir bekalan elektrik kepada persekutuan kerana tekanan bebanan isu kelestarian kewangan.
"Dan pada hari ini atas sebab kelestarian kewangan ini jugalah, maka kerajaan persekutuan memberikan semula tanggungjawab mengurus tadbir hal ehwal bekalan elektrik kepada Sabah.
"Tuaran berharap reassignment ini akan berkekalan sampai bila-bila dan bukan sebaliknya," kata Madius
Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu juga turut mengulangi pendiriannya terhadap isu bekalan air di Sabah.
Katanya, bekalan air bersih sudah sekian lama menghantui bumi di Bawah Bayu itu.
"Ada juga pengumuman khusus tentang intervensi pihak Kerajaan Persekutuan baru-baru ini, namun sehingga kini rakyat masih tertunggu-tunggu bilakah rancangan itu menjadi realiti.
"Hakikatnya rakyat mengharungi kepayahan menghadapi berhari-hari catuan bekalan air. Sudahlah reserve margin pada paras negatif, lori yang menghantar bekalan air pula tidak cukup."
Beliau menambah, tata kelola bekalan air di Sabah juga harus mengikuti langkah seperti apa yang telah dilakukan di peringkat persekutuan.
"Ada Pembuat Dasar yakni Kementerian; juga perlu ada regulator seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan kemudian ada syarikat utiliti untuk menjalankan operasi rawatan dan pengagihan bekalan air.
"Dewan Yang Mulia ini tidak perlu diperingatkan dengan kes salah guna kuasa di Jabatan Air Sabah yang sudah bertahun-tahun dibicarakan tanpa kesudahan. Rakyat tertanya-tanya bilakah kes ini selesai," tegas Madius.
Comments