Sabah sasar tarik 3.5 juta pelancong tahun ini

28 Februari 2025
KOTA KINABALU: Sabah optimis untuk mencapai sasaran ketibaan 3.5 juta pelancong tahun ini, berdasarkan prestasi kukuh tahun lepas, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Christina Liew.
Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, industri pelancongan di Sabah melepasi sasaran tiga juta ketibaan pelancong dengan mencecah 3.14 juta dan menjana pendapatan RM7.28 bilion.
“Untuk tahun ini, kami menyasarkan ketibaan pelancong sekurang-kurangnya 3.5 juta. Hanya dua bulan dalam setahun, saya percaya kita berada di landasan yang betul,” katanya.
Beliau berkata demikiam ketika ditemui selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) semalam.
Turut hadir Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai.
Christina berkata, ketibaan tahun lepas meningkat 20.4 peratus daripada tahun sebelumnya, manakala hasil pelancongan menyaksikan peningkatan ketara daripada RM5.76 bilion pada 2023.
“Lembaga Pelancongan Sabah (STB) melakukan sekurang-kurangnya satu atau dua lawatan kerja bagi setiap negara untuk mempromosikan negeri ini.
Tahun ini, kami telah menjadualkan 11 lawatan antarabangsa, enam daripadanya akan saya ketuai sendiri.
“Selebihnya akan diketuai oleh pengerusi STB Datuk Joniston Bangkuai dan ketua pegawai eksekutif Julinus Jeffrey Jimit,” katanya sambil menambah bahawa sebarang perubahan saat akhir akan dimaklumkan kepada kerajaan.
"Untuk promosi luar negara yang pertama tahun ini, kementerian telah meletakkan sasarannya di Shanghai dan Moscow," katanya.
Christina juga berkata bahawa ketibaan pelancong tahun lepas mencapai 75 peratus daripada tahap pra-pandemik.
"Jumlah ketibaan antarabangsa pulih sebanyak 86 peratus," katanya.
Comments