top of page
nabalunews

Sabah setuju kajian kebolehlaksanaan Projek Keretapi Trans-Borneo dilaksanakan tahun depan



17 November 2024


KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bersetuju satu kajian kebolehlaksanaan Projek Keretapi Trans-Borneo yang merentasi Sabah dan Sarawak dibuat pada tahun depan.


Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kajian itu akan dilaksanakan menerusi sokongan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.


"Ia membabitkan kajian pembinaan rangkaian landasan kereta api merentasi Sabah dan Sarawak yang merangkumi jumlah jarak kira-kira 970 kilometer," katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Jumaat.


Sebelum ini, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil dilaporkan berkata kajian itu dijangka siap dalam tempoh setahun.


Perunding akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk menilai dan menentukan model kereta api yang dicadangkan dilaksanakan di Sarawak dan Sabah. Skop kajian akan merangkumi bidang teknikal, komersial, sosio ekonomi dan pembiayaan projek.


Masidi berkata di Sabah, satu kajian kemungkinan dan reka bentuk awalan pembinaan sistem kereta api yang menghubungkan Putatan dengan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) juga dilaksanakan tahun depan, lapor Berita Harian.


Katanya, panjang jajaran landasan kereta api dalam cadangan itu ialah kira-kira 40 kilometer.


Katanya, langkah itu antara usaha kerajaan negeri memastikan perkhidmatan kereta api yang terbaik dan kondusif dapat disediakan kepada rakyat di negeri ini.


"Justeru itu, Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) diperuntukkan sebanyak RM63.61 juta untuk perbelanjaan operasi dan meneruskan projek naik taraf serta penambahbaikan sistem kereta api pada tahun depan.


"Ia akan dilaksanakan melalui penyediaan aset pengangkutan yang mencukupi, infrastruktur landasan dan kemudahan yang bertambah baik serta sumber manusia yang terlatih," katanya.


Masidi berkata, satu unit lokomotif juga akan ditambah pada tahun depan dalam usaha meningkatkan frekuensi perkhidmatan kereta api, selain memperkenalkan perkhidmatan baharu secara berperingkat.

Kommentare


bottom of page