Sabah sudah ada sistem pentadbiran peringkat kampung, apa tujuan penubuhan JKDM?

20 Mei 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Star Sabah, Datuk Jalumin Bayogoh mempersoalkan penubuhan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Persekutuan (Komuniti Desa Madani) kerana Sabah sudah mempunyai sistem pentadbiran peringkat kampung.
Beliau berkata, sekiranya ada dana daripada kerajaan persekutuan untuk pembangunan kampung, ia perlu disalurkan melalui saluran yang betul.
“Segala usaha kerajaan persekutuan untuk membantu membangunkan negeri ini amat dialu-alukan. Kita bukannya menolak, jauh sekali membantah usaha serta inisiatif yang diambil mana-mana pihak, apatah lagi berkaitan pembangunan dan kemajuan rakyat.
“Kita alu-alukan usaha untuk memajukan Sabah, untuk mensejahterakan rakyat. Namun, pada masa yang sama, kami juga mahu kerajaan, pemimpin dan rakyat Sabah dihormati,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu Jalumin meminta penjelasan tentang pengwujudan JKDM di Sabah kerana Sabah sudah ada sistem pentadbiran peringkat Negeri sehinggalah ke peringkat Kampung.
“Setiap kampung, kita ada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dilantik oleh kerajaan berdasarkan kelayakan mereka menjalankan tanggungjawab. Jadi, apakah tujuan penubuhan JKDM?,” katanya.
Jalumin berkata, sekiranya ada peruntukan untuk kemajuan dan pembangunan untuk rakyat Sabah, ia harus disalurkan kepada kerajaan negeri.
“Kenapa tidak disalurkan kepada Kerajaan? Perlu diingatkan bahawa, sejernih-jernih air, jika melalui pembuluh yang kotor, tentu kotor juga airnya.
“Jika ikhlas membantu, lakukan dengan cara yang betul, kalau hendak seribu daya, kalau tidak seribu dalih, jangan ada udang di sebalik batu,” katanya.
Comments