top of page

Sabah, Terengganu kongsi mata di Likas

  • nabalunews
  • Sep 16, 2024
  • 1 min read

16 September 2024


KOTA KINABALU: Sabah FC dan Terengganu FC terpaksa berkongsi satu mata selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas di sini, malam tadi.


Jaringan tunggal kedua-dua pasukan dihasilkan pada separuh masa pertama.


Gol Sabah dijaringkan penyerang import baharu dari Brazil, Joao Pedro Boeura Duarte pada minit kesembilan.


Jaringan penyamaan Terengganu pula dijaringkan Ismaheel Akinade pada masa tambahan separuh masa pertama.


Terdahulu, selepas mendahului dengan jaringan pada minit kesembilan, Sabah terus melancarkan serangan untuk menambah jaringan namun gagal menembusi gawang pelawat.


Sebaliknya, Terengganu membuat kejutan apabila mendapat gol penyamaan sejurus masa tambahan lima minit diberikan pengadil pada separuh masa pertama.


Gol Akinade itu gagal diselamatkan penjaga gol Sabah, Damien Lim menyebabkan gawang The Rhinos bolos.


Di separuh masa kedua, kedua-dua pasukan bermain lebih agresif dalam usaha mendapatkan tambahan gol.


Pasukan pelawat lebih menguasai perlawanan menerusi hantaran tepat dan cubaan ke arah gawang Sabah berbanding tuan rumah yang lebih banyak bertahan.


Pemain Sabah juga dilihat banyak kehilangan bola menyebabkan The Rhinos kurang mendapat peluang melakukan serangan berbahaya.


Sabah berjaya mendapat beberapa peluang baik khususnya pada minit ke-60 dan ke-63 menerusi Muhammad Jafri Chew, namun percubaannya gagal menepati sasaran selain selama penjaga gol Terengganu.


Kedudukan 1-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page