Sabah terima pelancong dari Guangzhou, penerbangan terus pertama dari China sejak Covid-19

3 Mac 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Sabah telah menerima seramai 140 pelancong dari Guangzhou, China dan ini merupakan penerbangan terus yang pertama dari China ke negeri ini sejak wabak pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia.
Difahamkan para pelancong tersebut yang menaiki pesawat AirAsia telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada pukul 5.30 pagi pada Khamis.
Lembaga Pelancongan Sabah (STB), dalam satu kenyataan berkata pelancong turut disambut oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai.
"Kami gembira dengan kepulangan pelancong China, dan kami berharap pemain industri pelancongan di Sabah akan terus menyediakan perkhidmatan hospitaliti yang cemerlang kepada para pelancong," kata Joniston yang juga Pengerusi STB.
Tambah beliau, negara China merupakan pasaran utama dan penting bagi negeri Sabah.
Terdahulu Joniston turut disertai oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Mohd Yusrie Abdullah, Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu Huang Shifang dan Ketua Pegawai Eksekutif STB Noredah Othman.
AirAsia juga dijadualkan akan membawa penumpang dari Shenzen, China ke KKIA pada esok hari (Jumaat).
Menurut STB, Sabah menjangkakan akan ada peningkatan jumlah pelancong China dalam beberapa bulan akan datang dengan lebih banyak penerbangan terus yang dijangka dari beberapa bandar di China.
Sebelum wabak Covid-19 melanda, China merupakan sumber pelancong antarabangsa terbesar Sabah, dengan jumlah 598,566 pengunjung yang direkodkan pada tahun 2019.
Comments