top of page
nabalunews

Sabah terus raih hasil kutipan tertinggi tiga tahun berturut-turut, fokus kepada ekonomi biru




15 Oktober 2024

 

KUALA LUMPUR: Sabah mencatatkan rekod kutipan hasil negeri tertinggi selama tiga tahun berturut-turut sejak 2021, dengan jumlah kutipan hampir mencecah RM7 bilion pada tahun 2023.

 

Pencapaian ini disifatkan sebagai hasil daripada kestabilan pemerintahan dan pembangunan ekonomi yang pesat di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

 

"Kita memberi tumpuan kepada sektor pertanian, perindustrian, pelancongan, pembangunan modal insan, infrastruktur, dan kelestarian hijau. Dengan fokus ini, hasil kita meningkat hampir RM7 bilion pada tahun lepas," ujarnya ketika wawancara Bicara Naratif Khas di Angkasapuri Kota Media, pada Isnin, lapor Berita RTM.

 

Menurut rekod, Sabah mengumpul RM6.973 bilion pada 2022, sedikit meningkat berbanding RM6.960 bilion pada tahun sebelumnya, dan RM5.449 bilion pada tahun 2021.

 

Dalam wawancara yang sama, Hajiji turut mengumumkan bahawa Sabah akan menerokai Ekonomi Biru sebagai sumber ekonomi baharu, memanfaatkan kedudukannya yang dikelilingi oleh Laut Cina Selatan, Laut Sulu, dan Laut Celebes.

 

“Ekonomi Biru bukan sahaja melibatkan sumber marin, tetapi juga merangkumi 14 industri lain, termasuk tenaga boleh baharu. Berdasarkan kajian, 75 peratus sumber ini berada di Sabah," jelasnya.

 

Inisiatif ini dijangka memberi impak besar kepada kerajaan negeri serta penduduk Sabah.

Comments


bottom of page