Sabah tidak akan tunduk kepada ancaman politik - Hajiji
4 Disember 2024
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak akan tunduk terhadap sebarang usaha yang dilakukan oleh pihak tertentu dengan niat untuk menggugat kestabilan politik Sabah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor memberi jaminan bahawa sumber mineral negeri ini kekal terpelihara dan diuruskan dengan teliti demi masa depan rakyat.
"Kerajaan negeri di bawah pentadbiran saya tidak pernah mengeluarkan lesen melombong kepada mana-mana pihak. Sebarang dakwaan bahawa lesen melombong (mining lease) telah diberikan adalah tidak benar sama sekali.
"Setakat ini, kerajaan hanya mengeluarkan 'prospecting license' yang bertujuan untuk penerokaan dan pengumpulan data geomineral.
"Proses ini adalah langkah awal yang diperlukan sebelum sebarang permohonan 'mining lease' daripada syarikat yang layak dapat dipertimbangkan.
"Malangnya, isu ini telah dijadikan propaganda politik oleh pihak tertentu dengan niat jahat untuk mencetuskan kekeliruan dan menggugat kestabilan politik," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, pada Rabu, lapor Berita Harian.
Dalam pada itu, Hajiji turut menjelaskan bahawa permohonan kumpulan berkenaan membabitkan tanah seluas hampir satu juta ekar.
"Sebahagian besar kawasan itu adalah kawasan perlindungan sepenuhnya (totally protected areas), kawasan tadahan air, dan kawasan Pemeliharaan.
"Apabila permohonan mereka tidak berjaya, beberapa klip video telah disebarkan sebagai usaha untuk mengancam kerajaan negeri.
Tuduhan bahawa wakil rakyat meminta habuan atau melakukan salah laku berkaitan isu ini adalah tidak berasas.
"Perbuatan mengaitkan rakaman video yang telah disunting dan disebarkan dengan niat jahat, termasuk ancaman berbentuk pemerasan jenayah, adalah tindakan terdesak yang bertujuan mencemar nama baik kerajaan dan menjejaskan kestabilan politik Sabah.
"Oleh itu, saya ingin memberi jaminan kepada seluruh rakyat Sabah bahawa pentadbiran saya kekal berpegang kepada prinsip keadilan, ketelusan, dan kejujuran," katanya.
Media sebelum ini melaporkan satu klip audio dan beberapa klip video memaparkan perbualan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dengan individu dipercayai bertanggungjawab merakam klip terbabit tersebar di sebuah portal berita tempatan.
Sebelum ini, terdapat empat klip video yang mengaitkan empat orang ADUN iaitu ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, ADUN Kemabong, Datuk Rubin Balang, ADUN Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari dan ADUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Semalam, portal berita terbabit memuat naik empat lagi klip video memaparkan perbualan yang mengaitkan ADUN Membakut, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, ADUN Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun, ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah dan ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.
Comments