Salahuddin meninggal dunia: Pemimpin negara berduka
24 Julai 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Pemergian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), tidak hanya memberi kesan kepada rakyat, tetapi juga kepada pemimpin negara yang mengenali beliau sebagai seorang pejuang keadilan dan reformasi.
Salahuddin, 59, meninggal dunia di Hospital Shah Alam pada jam 4.45 petang semalam akibat komplikasi jantung.
Beliau meninggalkan isteri, Datin Seri Noraini Ahmad, dan lima anak.
Pemimpin negara dari pelbagai parti politik telah mengucapkan takziah dan menghantar penghormatan kepada Allahyarham melalui media sosial dan kenyataan rasmi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau amat terkesan dengan berita pemergian sahabatnya yang setia dalam perjuangan selama ini.
"Secara peribadi, ianya satu kehilangan besar buat diri saya dan keluarga, dan saudara Salahuddin teguh bersama dalam perjuangan yang panjang ini sehingga ke akhir hayat.
“Jasa dan budinya tentunya tidak termampu dibalas secara materi," katanya dalam satu hantaran Facebook.
Tambah Anwar, Allahyarham merupakan sosok yang kuat bekerja dan sangat taat pada amanah dan tanggungjawab.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Allahyarham berperwatakan rendah diri, sentiasa komited dan berdedikasi dalam melaksanakan tanggungjawab.
"Sehingga hujung nyawa beliau prihatin dan terus berjuang memikirkan kesejahteraan rakyat. Negara kehilangan pemimpin hebat,” katanya juga melalui hantaran Facebook.
Manakala, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Allahyarham telah menjalankan tugasnya sebagai menteri dengan amat baik menerusi pelbagai inisiatif bagi membantu meringankan beban rakyat.
"Saya percaya Allahyarham mahu kita teruskan perjuangan, walaupun beliau meninggalkan kita tetapi semangatnya (tetap hidup) untuk meneruskan perjuangan dan legasinya dalam pilihan raya.
“Beliau seorang ahli Pakatan Harapan (PH) yang benar-benar membawa perjuangan kita selama ini," katanya ketika berucap pada majlis Pengenalan Calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, semalam.
Comentarios