Sambutan dua tahun Kerajaan MADANI berpindah ke KLCC
8 November 2024
PUTRAJAYA: Sambutan dua tahun pentadbiran Kerajaan MADANI yang dijadualkan di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dari 22 hingga 24 November ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
“Hasil daripada mesyuarat jemaah menteri pada hari ini, sebelum ini saya mengumumkan bahawa pada 22 hingga 24 November 2024 akan diadakan sambutan dua tahun Kerajaan Madani di MITEC.
“Lokasi bagi sambutan ini sudah diubah ke KLCC. Bukan lagi di MITEC,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Ditanya kenapa lokasi penganjuran itu berubah, Fahmi berkata, antara faktor adalah disebabkan pertimbangan lokasi serta ruang.
“Tarikhnya tetap sama iaitu 22 hingga 24 November ini. Kemuncaknya adalah pada 23 November yang akan dihadiri oleh Perdana Menteri, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, ahli Jemaah Menteri, dan semua anggota pentadbiran,” katanya.
Comments